i k l a n

Thursday, November 21, 2013

Tutup Aurat

Al kisah seorang bapa dengan anaknya. Suatu hari si bapa memanggil si anak perempuannya yang cantik dan sedang meningkat remaja. Sejurus bertentang mata, si bapa bertanya "Wahai anak abah yang cantik, kamu tahu tak kenapa Allah menyuruh kamu yakni perempuan yang telah baligh wajib menutup aurat?". "Tidak tahu abah, yang saya tahu ia adalah arahan Allah", jawab si anak.

Bapa: Begini, cuba kamu bayangkan kamu ke kedai coklat dan kamu dapati ada coklat yang dibungkus dan ada yang tak dibungkus. Agaknya kamu nak beli coklat yang mana?

Anak: Tentulah yang dibungkus abah

Bapa: Kenapa?

Anak: Sebab yang tak dibungkus itu mungkin telah terdedah kepada bakteria atau kotoran kerana ia terdedah kepada udara

Bapa: Kalau yang dibungkus itu pula ada jenis yang bungkus separuh dan ada yang bungkus penuh. Kamu pilih yang mana?

Anak: Mestilah pilih yang bungkus penuh, yang bungkus separuh itu mungkin dah terdedah dengan kotoran juga abah. 

Jawab si anak secara spontan

Anak: Tapi abah, apa kaitannya soalan abah ni dengan aurat?

Bapa: Sebelum abah jawab, abah nak tanya lagi

Anak: Ada lagi soalan..!! Banyaknya soalan abah

Ngomel si anak yang tak berpuas hati diasak dengan soalan yang banyak

Bapa: Baik, agak-agak kamu coklat yang tak dibungkus dan dibungkus separuh ini ada orang beli tak?

Anak: Macam takde orang beli je abah

Bapa: Katakanlah kedai yang jual coklat tu berjaya jual semua coklatnya termasuk yang tak dibungkus dan dibungkus separuh itu. Agak-agak kamu, orang yang bagaimana yang membeli coklat yang tak berbungkus dan yang berbungkus separuh itu?

Anak: Hurrmmm...rasanya orang yang tak prihatin pasal kebersihan lah yang sanggup beli coklat begitu. Jenis yang tak kisah sangat pasal kebersihan...

Si bapa tersenyum mendengar jawapan dari si anaknya. Dari jawapan itu, tahulah dia anaknya itu bagaimana orangnya. 

Bapa: Anak, abah sebenarnya bertuah mempunyai anak seperti kamu yang mengikut perintah Allah menutup aurat. Ini bererti kamu adalah seorang yang beriman kepada Allah swt. Ia adalah anugerah yang hebat untuk abah bila mempunyai anak seperti kamu. Tapi abah tidak mahu juga kamu berbuat sesuatu perkara atas dasar keterpaksaan. Lagi tak mahu bila kamu buat atas dasar abah yang suruh. Seperti mana soalan awal abah tadi, abah mahu tahu sejauh mana kefahaman kamu tentang menutup aurat. Dengan memahami hikmah sesuatu perkara itu akan menjadikan kamu lebih bersungguh-sungguh dalam melaksanakan sesuatu suruhan. 

Begini anak, sesungguhnya coklat dan menutup aurat itu memang tiada kaitan langsung. Cuma kita boleh ambil perumpamaan antara coklat yang berbalut elok dengan manusia yang menutup aurat. Kita umpamakan coklat yang berbalut elok itu dengan orang yang menutup aurat dengan sempurna. Ya...setiap jenis coklat yang dijual semuanya akan dibeli, cuma siapa pula pembelinya. Orang yang menitikberatkan pasal kebersihan akan membeli coklat yang berbalut penuh, bagi orang yang tak kisah sangat pasal kebersihan, dia boleh beli saja coklat yang tak berbalut pun sebab dia tidak kisah sangat intipati yang ada pada coklat tersebut. 

Sebegitu juga manusia terutamanya perempuan seperti anak abah ini, suatu hari kamu akan disunting orang. Dan orang itu akan menjadi pengganti abah untuk menjaga kamu. Yang lebih penting dari itu, dia yang akan menanggung dosa dan pahala kamu. Jika baik orangnya, dia akan bawa kamu ke syurga tapi sebaliknya akan bawa kamu ke neraka. Nauzubillah. Seboleh mungkin abah nak orang itu adalah orang yang terbaek dari segi ugamanya. Sebab jika ugamanya baik, inshaAllah kehidupannya juga akan baik. Pada masa sama ia bergantung juga sejauh mana baiknya anak abah ini. Jika anak abah ni seperti coklat yang berbalut separuh, agak-agaknya lelaki bagaimana yang akan menyunting diri kamu? Moga Allah jauhkannya. 

Jadi, abah harap kamu lebih faham hikmah disebalik suruhan Allah untuk menutup aurat dengan sempurna. Ia mungkin bukan kesukaan kamu untuk hari ini, tapi ia adalah untuk masa depan kamu menuju kepada kehidupan yang kekal.

Anak ku, pada hari kelahiran kamu ke dunia ini, kamu adalah salah satu nikmat yang Allah telah beri kepada abah. Tapi bilamana kamu menjadi anak yang solehah itu adalah rahmat yang Allah telah berikan kepada abah.

Anak: Terima kasih abah, sekarang saya faham hikmah menutup aurat dengan sempurna. Sebelum ini saya hanya menutup aurat sebab abah yang suruh. Kadang-kadang rasa terpaksa juga. Tapi hari ini saya telah faham dari cerita abah tadi. Terima kasih Allah kerana telah kurniakan saya abah yang sangat baik.

Si anak meluah rasa sambil menahan sebak atas ketulusan hati bapanya memberi pengajaran hidup kepadanya. 


Inspirasi buat anakku - Nur Mukhlisah

Related Posts with Thumbnails