i k l a n

Tuesday, February 10, 2015

Dipermudahkan dapat rumah sewa

Saya sekarang ini telah pun menetap di negeri Terengganu.

Bagi yang tak tahu, saya memang berasal dari Kota Bharu, kemudiannya sambung belajar dan bekerja di Batu Pahat, Johor selama lebih kurang 8 tahun. Setelah nikah saya merantau ke Queensland, Australia menemani isteri menghabiskan sisa pengajiannya. Kemudian balik semula ke Kota Bharu dan sekarang inshaAllah menetap di Kuala Terengganu.

Mencari rumah sewa memang merupakan suatu yang mencabar apatah lagi tempat yang kita cari itu merupakan tempat yang baru untuk kita. Lagi susah bila kita tidak mengenali sesiapa di situ. Bertambah-tambah susah bila kita tak tahu secara spesifik kat mana yang patut kita tinggal.

Itulah antara perkara yang saya dan isteri hadapi ketika mencari rumah sewa di Terengganu. Rumah sewa banyak tapi isu harga sewa, kawasan yang pernah terkena banjir, kesesuaian dan keselesaan untuk anak kami dan keselamatan juga antara perkara yang kami ambilkira sebelum menyewa.

2 minggu tempoh yang kami ambil untuk mendapatkan rumah sewa. Seminggu pertama kami pulang hampa. Isunya kami tersilap kawasan. Ada beberapa rumah yang dah dilihat tetapi ada isu pernah kena banjir dan keadaan rumah yang teruk. Ada rumah yang selesa tapi harga pula mahal. Minggu kedua, kami tukar ke kawasan yang lebih spesifik, Hari pertama terus dapat rumah. Alhamdulillah kami dapat rumah selesa, agak baru dan harga sewa pun boleh dikategori murah di kawasan ini.

Apa rahsianya?
Sebenarnya dalam perjalanan ke Terengganu untuk minggu kedua, kami berdoa:

"Ya Allah mudahkanlah pencarian rumah sewa kami. Moga-moga kami dapat rumah yang baik untuk kami, agama kami, kehidupan dunia kami serta akhirat kami. amin"

Alhamdulillah, rumah yang kami perolehi ini sangat dekat dengan masjid. Sangat dekat juga dengan tempat kerja isteri dan adik ipar saya (adik ipar seorang doktor pelatih di hospital SNZ).

Kami pun tak jangka dapat rumah ini. Tuan rumah juga tak kenal orang yang bagi no telefon tuan rumah. Orang tu pun kami jumpa sebab nak sewa homestay dia. Yang lagi tragik, homestay tersebut adalah homestay yang dibuat sementara waktu sahaja sementara rumah tersebut diambil semula oleh tuan rumah. Peningkan baca cerita ini.

Tak payah nak pening-pening sangat. Ini semua pertolongan Allah swt. Allah dah rezekikan kami untuk dapat rumah tersebut. Syukur Ya Allah.

Terus terngiang ayat ini "Nikmat tuhan yang manakah yang engkau dustai"

Sekian.

Minta saja pada Allah, bukan pada manusia ;)

Monday, February 9, 2015

Tips temuduga atau bertemu orang besar

Tips ini ditulis sempena Dr isteri menghadiri temuduga.

Bagi individu yang tak biasa berjumpa dengan orang besar (orang berpangkat), mereka akan rasa TAKUT sebelum perjumpaan tersebut. Ada orang kata NERVOUS lah..!!

Mengapa TAKUT/GEMENTAR/NERVOUS ini terjadi?

Semua reaksi ini terjadi bila kita asyik memikirkan keadaan perjumpaan tersebut.
Dalam kepala masing-masing sibuk memikirkan "Apa soalan yang nak ditanya nanti", "Apa jawapan terbaik yang harus aku jawab?", "Berapa ramai panel yang akan ada?", "Semua panel orang hebat-hebat, nanti mesti tanya soalan yang aku tak dapat jawab" dan macam-macam lagi soalan yang sendiri buat bagi menggambarkan betapa NGERI perjumpaan tersebut.

Apa yang telah berlaku?

Pemikiran kita yang asyik memikirkan tentang keadaan tersebut sebenarnya telah meransang segala enzim dalam badan untuk kita rasa TAKUT/NERVOUS/GEMENTAR. Tetapi sedarkah kita bahawa keadaan itu belum lagi terjadi dan belum tentu terjadi seperti yang kita gambarkan dalam minda kita.

Jadi bagaimana nak mengatasi perkara tersebut?

satu: Guna mentera ini:
"Mereka (panel/orang besar) juga merupakan manusia yang sama macam kita.  Cuma dia ada pangkat. Yang lebih besar adalah Allah swt. Segala ketetapan telah pun ditetapkan oleh Allah. Aku hanya buat yang terbaek yang boleh aku buat"

dua: Jawab apa tahu saja.
Jadilah orang yang jujur dan yakin dengan diri. Bukannya menjadi orang yang luar biasa dari diri kita yang sebenar semata-mata untuk mendapat jawatan, pekerjaan atau peluang yang cuba kita perolehi tersebut. Jika ditanya perkara yang diluar pengetahuan kita, maka jawablah dengan jujur yang perkara itu diluar pengetahuan kita (i.e: "Maaf, perkara tersebut diluar pengetahuan saya ketika ini, jika perlu bagi saya masa untuk saya dapatkan maklumat lanjut tentang perkara tersebut dan saya akan maklum kembali kepada Tuan/Puan"). Kita tidak perlu menjadi orang yang serba tahu kerana yang lebih mengetahui adalah Allah swt.

tiga: Usah digambar keadaan pertemuan dan fokuskan kepada perkara utama pertemuan
Usahlah kita cuba menggambarkan keadaan pertemuan tersebut sebaliknya fokuskan diri kita kepada perkara yang lebih utama iaitu tujuan pertemuan. Jika pertemuan tersebut berkenaan dengan tender, maka yang harus difokuskan adalah segala maklumat tender dan dokumen. Kalau temuduga, pakai pakaian terbaik dan fokuskan kepada mencari maklumat aktiviti pengeluaran syarikat/agensi. Bukan menghafal misi dan visi tetapi lebihkan kepada halatuju syarikat/agensi tersebut. Mana-mana industri sekalipun lebih berminat mendengar tentang halatuju untuk maju bukan sekadar perkara sediaada.

empat: Hadir awal
Hadir awal supaya kita boleh bertenang dengan suasana sekitar. Hadir awal juga akan memberi kesempatan kepada kita untuk berzikir dan berdoa supaya Allah lembutkan dan lancarkan lidah kita untuk berkata-kata.

lima: Mohonlah pada Allah
Mohonlah pada Allah jika pertemuan itu akan menghasilkan perkara yang baik untuk kita, agama kita, kehidupan kita dan akhirat kita maka mudahkanlah. Jika ia tidak baik maka mohon supaya Allah jauhkan.

Sekian tips untuk kali ini.

Dr isteri sebenarnya bukan menghadiri temuduga TAPI temubual

Saturday, February 7, 2015

Saya di awal tahun 2015

Assalamualaikum wbt

Ini entri pertama dalam tahun 2015 setelah lama tidak menulis di blog. Kali ini saya mahu berkongsi kisah hidup saya satu ketika dulu dan sekarang.

Zaman persekolahan dulu saya adalah pelajar yang sederhana. Tidak cemerlang dan tidak pula terlalu bodoh. Sekolah rendah ke sekolah menengah saya sentiasa berada di kelas pertengahan. Dalam kelas pertengahan pun saya dapat kedudukan tengah-tengah. Namun rezeki saya agak baik, Allah kurniakan kesempatan untuk saya layak masuk ke Pusat Asasi Sains Universiti Malaya untuk sijil matrikulasi. Di sana masih lagi tengah-tengah, sebab saya masih lagi dalam keadaan selesa. Saya ada rakan-rakan satu sekolah yang dikenali untuk saya rujuk.

Keadaan berubah bilamana saya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di tempat baru. Di sana saya tiada kenalan rapat. Saya bersendiri. Tiada lagi kawan-kawan untuk saya rujuk jika saya tak tahu. Di situ saya mula mencari semangat dalaman untuk memajukan diri dalam pelajaran. Disebabkan tiada orang yang boleh dirujuk, maka saya yang harus jadi orang yang dirujuk. Alhamdulillah semester pertama cemerlang. Semester seterusnya saya hanyut balik sebab alpa dengan dunia sendiri.

Setelah tamat ijazah pertama dengan tambahan satu semester, saya sekali lagi diberi rezeki untuk sambung ijazah kedua. Sekali lagi saya keseorangan. Program pengajian untuk lepasan siswazah agak baru di situ. Tiada siapa yang dapat saya rujuk kecuali penyelia saya sendiri. Disebabkan tiada siapa yang dapat saya rujuk, maka saya harus jadi orang yang dirujuk. Dan ia berhasil, kebanyakkan pelajar baru yang mendaftar untuk pengajian master akan merujuk saya tentang beberapa hal di fakulti.

Disamping menyambung belajar, saya juga mula menambah pengalaman hidup dengan menjadi seorang perunding pelaburan berlesen di syarikat merah (bukan nama sebenar). Dalam bidang ini, pengalaman yang saya timba agak berbeza. Ia bukan lagi soal kat mana mahu dirujuk tapi soal siapa yang bertindak. Dalam bidang ini saya menjadi seorang perunding yang agak slow and steady. Di sini saya berjumpa ramai orang yang pelbagai ragam. Ada satu isu yang saya belajar dalam industri ini.

Suatu ketika dulu, industri ini dan syarikat merah ini bukanlah suatu yang dikenali ramai terutamanya bangsa M. Jadi kebanyakkan perunding membuat alasan yang ramai orang tak tahu berkenaan industri ini, ramai yang tak kenal syarikat ini. Jadi mereka tak dapat mencari pelanggan yang mahukan perkhidmatan mereka. Namun setelah beberapa ketika, industri dan nama syarikat merah ini telah mula dikenali ramai. Bilangan perunding di syarikat merah juga bertambah. Pada masa ini, kebanyakkan perunding membuat alasan semua orang dah tahu dan telah pun menceburi industri tersebut. Jadi mereka perlu bersaing sesama sendiri untuk menawarkan perkhidmatan tersebut kepada pelanggan.

Berniaga memang minat saya walaupun saya tak pernah secara rasmi berniaga. Saya pernah membuka beberapa syarikat sendiri dengan cara mendaftarkan nama perniagaan enterprise di pejabat SSM. Kebanyakkan perniagaan masa itu adalah berkenaan perunding latihan dan motivasi. Saya tidak pernah berniaga produk secara serius, walaupun pernah terjebak dengan MLM secara tidak disengajakan. Tak sempat dapat untung pun saya terus berhenti bilamana saya sedar yang niat saya ketika itu adalah sebab mahu pakai kereta besar. Owh...saya pernah jadi pembantu jurujual di kedai runcit kepunyaan sepupu. Tapi itu aktiviti cari duit tambahan masa cuti semester. Pernah juga saya belajar untuk masuk tender. Tetap tak pernah dapat sebab tiada pengalaman dan tak pernah nak berguru.

Dari cerita dan pengalaman saya di atas,

Kalaulah saya guna alasan yang sekarang ini dah terlalu ramai orang berniaga maka saya pun tak boleh berniaga dah. Kalaulah saya guna alasan yang saya tiada orang untuk dirujuk, maka sekarang ini saya sepatutnya berusaha untuk jadi orang yang dirujuk. Jadi di mana saya ketika ini?

Saya sedang cuba berniaga. Belum mula lagi tapi akan bermula.

Bila mula?

Jawapan yang paling terbaek:  Dah lama mula
Jawapan yang baik: Sekarang bermula
Jawapan yang hampeh: Nanti

Jawapan saya: Saya tengah istikharah


Related Posts with Thumbnails