i k l a n

Friday, March 6, 2015

Panggilan tersebut telah membunuh ketenangan saya pada hari itu

Berbunyi saja handphone, saya akan cuba untuk terus menjawab. Tidak kiralah terpapar nombor phone pejabat atau nombor yang tidak dikenali sekalipun. Saya cuba untuk menjawab. Kata seorang kenalan saya yang merupakan seorang pensyarah universiti dalam bidang perakaunan. Ia adalah satu etika yang baik dan terhormat untuk kita menjawab panggilan. Jika kita tidak dapat menjawab panggilan tersebut, kita kena pastikan yang kita akan membuat panggilan semula kepada nombor tersebut bila sudah berkelapangan. 

Kadang-kadang yang menelefon saya adalah dari syarikat marketing mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka. Tidak terkecuali terkena panggilan yang mencurigakan sehingga pernah hilang beberapa ringgit kredit akibat menjawab panggilan tersebut. Pelikkan..!! Walaupun ramai yang tidak suka melayan kerenah pemanggil yang mempromosikan produk dan perkhidmatan. Tapi bagi saya, saya harus bagi mereka peluang. Itu cara mereka mencari rezeki. Saya memahami keadaan mereka sebab saya juga pernah terlibat dalam kerjaya seperti mereka. Cuma saya memang ada fobia dalam membuat panggilan telefon. Jadi memang saya tidak pernah menggunakan cara tersebut untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan saya. 

Namun baru-baru ini, setelah berpindah ke Terengganu. Suatu petang setelah sampai rumah dari mengambil isteri dari tempat kerja. Saya telah mendapat satu panggilan dari seorang wanita. Suaranya agak berusia. Pelik juga sebab dia tahu nama saya. Rupanya dia merupakan bekas penyewa rumah yang kami sewa sekarang ini. Tapi bagaimana dia dapat tahu nombor telefon saya sedangkan saya sendiri tidak pernah berurusan dengannya apatah lagi bertemu muka. 

Dipendekkan cerita, tujuan dia telefon adalah untuk berbincang isu tunggakan bil elektrik sejumlah RM700++ yang belum dilunaskan. Yang menjadi masalah adalah bilamana dia mohon untuk saya datang ke rumah mereka seberapa segera untuk isu tersebut. Katanya dia ingin mohon kerjasama dari saya. Saya agak keberatan sebenarnya untuk pergi ke rumah mereka kerana petang itu badan pun agak kepenatan. Dan itu bukan urusan yang perlu saya selesaikan pun. Urusan saya adalah bersama Tuan Rumah sahaja. Mula-mula wanita tersebut cakapnya baik-baik saja, tapi bila saya sudah keberatan untuk pergi ke rumah mereka, nada suaranya telah mula berubah. Dari memujuk telah berubah menjadi ugutan..!! 

Dia mengugut kononnya kalau saya tak datang nanti elektrik di rumah saya akan dipotong. Saya jawab dengan baik saja. 

Saya kata, 

"kenapa pulak nak potong elektrik rumah saya. Siapa yang tak bayar bil sebenarnya nih".

Dia jawab lagi, 

"habis tu en muhsync tak mahu bagi kerjasama".

Masalahnya apa kerjasama yang saya boleh bagi untuk isu tersebut? Kerjasama tolong bayarkan tunggakan elektrik yang dia dah guna selama ini ker? hampeh...

Akhirnya dia cakap, 

"terpulanglah pada encik muhsync, kalau nak datang sila datang, kalau tak nak ...." (panggilan dimatikan atau terputus)...

Saya termenung panjang dengan panggilan tersebut. Saya baru saja duduk di sini, tiba-tiba sudah ada orang mahu buat musuh. Saya tak boleh biarkan ia berterusan. Terus saya telefon Tuan Rumah untuk menceritakan apa yang telah berlaku sebentar tadi. Rupanya tahulah saya, Tuan Rumah yang bagi nombor telefon saya setelah dipujuk rayu oleh wanita tersebut. Saya cakap dengan jelas kepada Tuan Rumah, urusan saya adalah dengan Tuan Rumah bukan dengan perempuan tersebut. Tuan Rumah pula bagi jaminan, apa-apa terjadi dia akan tanggung. 

Hati saya masih tak tenang. Tiba-tiba dapat sms dari perempuan tersebut. 

"Maaf En.Muhsync, tadi panggilan terputus sebab habis kredit. En.Muhsync boleh datang ke tidak kat rumah akak?"

Saya tak reply apa-apa. Saya jelas dengan prinsip yang saya pegang. Urusan saya adalah dengan Tuan Rumah sahaja. Dan memang saya tak reply sampai hari ini. 

Hari itu fikiran dan hati memang tidak tenang. Macam-macam benda buruk terbayang kat kepala. Maklumlah saya tidak kenal dia. Takut juga kalau dia mengapa-apakan kami secara nyata atau ghaib. Namun untuk tenangkan hati, saya berdoa agar Allah melindungi kami sekeluarga. 

Setelah beberapa hari dan minggu. Suatu hari, rumah saya dikunjungi oleh dua orang pekerja sub kontaktor TNB. Dengan menunjukkan surat arahan pemotongan bekalan elektrik. Mereka kata mereka perlu potong hari ini juga. Cuak jugalah masa tu. 

Saya minta mereka untuk dengar penjelasan saya. Dan saya terus telefon Tuan Rumah, dan Tuan Rumah telah bercakap sendiri dengan pekerja terbabit. Alhamdulillah Tuan Rumah mahu menjelaskan segala tunggakan bil elektrik hari itu juga. 

Setelah beberapa bulan berlalu, suatu hari saya ke masjid dan kebetulan malam itu ada tazkirah di antara waktu maghrib dan isyak. Saya baru perasan ada salah seorang lelaki yang duduk di barisan depan di hadapan saya adalah bekas penyewa lama (saya pernah bertemu dengan lelaki tersebut masa mula-mula datang tengok rumah). Ya...dia adalah suami kepada wanita yang menelefon saya. Malam itu, ustaz yang bagi tazkirah ada menyebut perihal kena bayar hutang. Saya harap dia dengar dan dapat disampaikan kepada ahli keluarganya. Saya tak berkata apa-apa tentang hal tersebut. Saya buat tak tahu saja sebab prinsip saya dan urusan saya tidak berkaitan dengan dia. Masalah hutang dia sekarang ini adalah dengan Tuan rumah. 

Andai saya bertemu mereka di mana-mana sekalipun, saya akan bertegur dengan baik-baik saja. Saya tidak mahu menyindir atau berkata tentang isu tersebut. Saya tak mahu buat musuh. Saya mahu ramai kawan. 

Kadang-kadang, 
sebuah pelayaran tidak akan seronok jika anginnya asyik tenang saja. Sesekali angin kuat memukul, barulah terasa cabaran untuk kemudi layarnya. Cuma kita kena ada ilmulah bagaimana nak kemudi layar agar tidak terbalik dilambung ombak. 


No comments:

Related Posts with Thumbnails