i k l a n

Sunday, April 18, 2010

kaunter pertanyaan..hurmm


Membuat perjalanan yang jauh merupakan suatu yang menyeronokkan. Bak kata pepatah "jauh berjalan, luas pandangan, makin banyak pengalaman". Bercakap bab berjalan ni, sebenarnya saya baru sahaja sampai dari Kuala Lumpur. Pergi ke sana atas urusan perniagaan dan hubungan silaturahim.

Nak ikutkan saya sudah biasa dengan bandar metropolitan Kuala Lumpur ni terutamanya melibatkan perjalanan menggunakan kenderaan awam. Tapi kalau nak suruh pandu kereta sendiri saya terpaksa angkat tangan sebab memang pening dengan jalan-jalannya yang bersimpang siur itu.

Sudah menjadi kebiasaan pergi ke sana dengan bas tapi kali ini bas tidak lagi berhenti di Hentian Puduraya sebaliknya berhenti di hentian sementara Bukit Jalil. Uisshh mahu kelam kabut kejap memikirkan bagaimana mahu ke tempat yang dituju dari sana. Kalau menggunakan LRT insyaAllah boleh sampai tapi kalau dengan bas belum tentu lagi sebab kurang mahir. Ada je terfikir untuk ambil teksi tapi bila fikir bab tambang tu yang malas nak membazir. Jadi cepat-cepat buka map kat dalam diari dan alhamdulillah rupanya di kawasan situ ada stesen LRT terdekat.

Tempat yang dituju adalah ke stesen LRT Taman Melati dan tempat ke dua adalah ke rumah kakak di Templer Park. Dipendekkan cerita, bermulalah perjalanan saya ke destinasi yang ditujui itu dan bermulalah episod kaunter pertanyaan.

Pertama, di Stesen LRT Bukit Jalil..seorang pemuda cina bertanya samada beliau berada ditempat yang betul untuk ke destinasi Tasik Selatan. Kemudian di dalam LRT pula, seorang pemuda india pula bertanya beberapa soalan tentang perjalanan untuk ke KLCC menggunakan LRT. Bila tiba di stesen Masjid Jamek (pertukaran Star ke Putra LRT) ditegur oleh seorang bangsa asing untuk ke Titiwangsa dan alhamdulillah semua soalan-soalan itu dapat saya jawab sebaik mungkin.

Rasanya tak pernah lagi menjadi tempat bertanya sebegitu sekali. Terfikir juga adakah aku ini muka kaunter pertanyaan ataupun ada nur di wajah ku (gurau jek). Sebenarnya seronok dapat membantu orang yang kesusahan. Selain dari itu dapat melatih tahap kemahiran berbahasa english kerana ketiga-tiga orang yang bertanya memang berkomunikasi dalam bahasa itu.

Kembali semula kepada topik perjalanan jauh, opss..maklumlah setiap perkara dalam dunia ni memang berpasang pasangan. Jauh perjalanan memang menyeronokkan tapi pada masa sama cukup memenatkan badan. Jadi sudah tiba masa untuk saya berehat =)

::inspirasiku::

Monday, April 12, 2010

kisah sedekah: tunggu kaya atau sekarang [update]



Suatu hari, seorang pemuda singgah di sebuah masjid untuk menunaikan solat. Selepas menunaikan solat, beliau ternampak seorang pakcik tua yang sedang duduk disebatang tiang di dalam masjid tersebut. Beliau pergi merapati pakcik tua itu sambil menghulur tangan mengucap salam. Pakcik tua itu menyambutnya dengan begitu ramah sekali.

Pemuda itu memang dilatih oleh ibubapanya untuk meminta nasihat yang baik-baik bila berjumpa dengan orang yang berusia. Maka dimintanya nasihat dari pakcik tersebut. "Pakcik, ada tak apa-apa nasihat yang boleh pakcik kongsikan kepada saya". Pakcik itu senyum dan bertanya kembali, "nak..apakah cita-cita mu di kemudian hari nanti?". Pemuda itu pun menjawab yang beliau ingin sekali menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. kata pemuda itu lagi sambil memberi contoh "Jika saya ada gaji RM10000, saya akan sedekahkan RM6000 kepada yang memerlukan. Cukuplah RM4000 itu untuk kegunaan saya".

Pakcik tua itu tersenyum mendengar kata-kata yang penuh semangat dari anak muda itu. "Nak, kamu ada berapa ringgit di dalam poket kamu sekarang?" tanya pakcik itu. Pemuda itu mula membelek beg duitnya. "Lebih kurang RM100 pakcik" balas pemuda itu. "Boleh tak kamu sedekahkan RM60 ke dalam mana-mana tabung masjid ini sekarang?" tanya pakcik itu.

Pemuda itu terdiam. "hurm...sekarang ini tak boleh lah pakcik sebab saya hanya ada RM100 ini je utk minggu ini. Tapi saya akan bagi RM10 untuk sekarang" balas pemuda itu.

Pakcik tua mencelah "tak perlulah wahai anak muda, jika kamu mahu melakukan kebaikan lakukanlah sekarang jangan bertangguh. Tidak perlu juga utk kamu menunggu suatu ketika yang belum pasti tapi laksanakan dengan apa yang sudah pasti. Adakah mungkin kamu akan bergaji RM10000 suatu hari nanti. Itu belum pasti lagi. Duit RM100 sekarang pun belum mampu engkau sedekahkan RM60, bagaimana mungkin kau akan sedekahkan RM6000. Fikirkan lah semula wahai anak muda" kata pakcik tua itu lantas bangun meninggalkan pemuda itu yang masih terkebil-kebil memikirkan kata-kata pakcik tua itu.

p/s:
nak bersedekah pun tak perlu tunggu hari jumaat (nak pahala lebih konon). bersedekahlah dengan niat kerana Allah swt. tentang ganjaran itu biarlah Allah sahaja yang tentukan selayak manakah ganjaran untuk diri ini.

satu lagi tabiat kebiasaan adalah bila kita nak bersedekah, kita akan mencari nilai wang yang paling kecil dalam wallet/purse masing-masing. cuba kita ubah tabiat ini dengan bersedekah dengan wang yang nilainya paling besar yang ada dalam beg duit kita.

jadi bagaimana sekarang? Didiklah diri untuk membuat perubahan (hijrah) dan jihad (melawan nafsu dan kebiasaan diri/tabiat) ke arah yang lebih baek. Kalau bukan sekarang bila lagi. kalau bukan kita, siapa lagi...

artikal asal dari notes dalam facebook atau klik di sini


.:muhsync berinspirasi:.

Monday, April 5, 2010

(sambungan) keluarga: aset atau liabiliti



Saya baru melihat surat penyata hutang PTPTN untuk pengajian kawan saya selama 4 tahun. Jumlah pinjaman yang diberikan adalah sebanyak RM28000 untuk bayaran yuran pengajian dan sara diri. Setelah dikenakan caj kos pentadbiran sebanyak 3% setahun jumlah yang perlu dibayar mengikut jadual pembayaran adalah lebih kurang RM35000 (seingat sayalah). Kawan saya itu mengeluh melihat jumlah bayaran yang perlu dilunaskan sedangkan sekarang ini dia masih tercari-cari kerja lagi. Bagaimana mungkin untuk dia membayar mengikut jadual yang ditetapkan. Jika tidak dia perlu membayar kos pentadbiran yang lebih akibat kelewatan pembayaran. Bila dia tahu berkenaan plan kewangan untuk pendidikan, sekali lagi dia mengeluh "alangkah bagusnya kalau ibu atau ayah aku tahu tentang plan ini suatu ketika dahulu tentu aku tidak perlu risau memikirkan perkara ini". Apa pun yang berlaku telah berlaku. Bak kata pakcik Werner Erhard “Create your future from your future, not your past.”

Post yang lepas saya telah menceritakan tentang kisah seorang ibu yang membuat perancangan kewangan untuk pendidikan anaknya dan bagaimana akhirnya anaknya itu telah menjadi aset yang cukup beharga kepada ibu tersebut. Jika ada yang terlepas boleh baca kembali di post yang lepas atau klik di sini

Bahagian kali ini saya cuba untuk berkongsi dengan membuat kira-kira bagaimana si ibu tersebut boleh membuat plan pendidikan untuk anaknya itu. Saya mengandaikan si ibu memulakan plan pada ketika anaknya itu berusia 5 tahun. Anak tersebut akan memasuki universiti pada umur 18 tahun. Ibu tersebut mempunyai lebih kurang 13 tahun lagi membuat tabungan pendidikan sebelum anaknya memasuki universiti. Andaikan si ibu memulakan plan tersebut sebanyak RM5000 dan menambah simpanannya sebanyak RM100 setiap bulan selama 13 tahun.

Dengan membuat kira-kira biasa, si ibu tadi telah menyimpan sebanyak RM20600. Tapi bila si ibu menyimpan di dalam plan kewangan untuk pendidikan, si ibu akan mendapati bahawa wang simpanannya telah berkembang menjadi RM48250. Adakah RM48250 ini masih belum mencukupi untuk pendidikan anaknya itu?? Cuba bandingkan antara kes kawan saya yang perlu membayar lebih kurang RM35000 selepas habis belajar dan kes ibu yang membuat tabungan pendidikan ini sudah bersedia dengan wang RM48250 sebelum anaknya masuk universiti. Adakah RM48250 itu cukup-cukup makan sahaja atau melebihi dari yang sepatutnya? Tidakkah kita lihat bagaimana ibu itu boleh menjadikan anaknya sebagai suatu aset yang berharga dalam keluarga..

Jadi..situasi mana pilihan kita? situasi seperti kawan saya tadi atau situasi si ibu tadi. Fikir-fikirkan. Saya ingin mengulang kembali kata-kata pakcik Werner Erhard “Create your future from your future, not your past.”

Bak kata pepatah melayu yang cukup popular "jangan biarkan pisang berbuah dua kali" tapi ada pula yang melawak kata "kalau tidak mahu pisang berbuah dua kali, jangan tanam pisang" hahahaha..

Buat pembaca sekalian, jangan hairan dengan apa yang saya perkatakan tadi kerana ia benar-benar berlaku. Saya bukannya membuat silap mata tapi saya membuat kira-kira berdasarkan ilmu yang saya pelajari dalam bidang ini. Akhir kata dari saya,
Berusaha dahulu sebelum berserah kepada Allah.

untuk maklumat lanjut dan ingin tahu bagaimana,
sila hubungi saya
Sdr. Muhsein
no. telefon: 0177337842
email: mm_sinn@yahoo.com / m.muhsein@gmail.com

Wednesday, March 17, 2010

keluarga: aset atau liabiliti (dr sudut kewangan)



Dalam satu seminar perancangan kewangan, penceramah bertanya kepada peserta yang hadir. "Mempunyai keluarga sendiri merupakan suatu aset atau liabiliti..". Semua peserta yang hadir diam dan cuba memikirkan jawapan yang terbaik. "Mempunyai keluarga boleh menjadi aset dan juga boleh menjadi liabiliti", jawab salah seorang peserta yang hadir. Jawapan tersebut masih lagi meninggalkan tanda tanya kepada peserta-peserta lain.

Jika soalan ini ditanya kepada kita, agak-agaknya apakah jawapan kita?

Persoalan berkenaan dengan keluarga menjadi aset atau liabiliti ini merupakan soalan yang subjektif. Jawapannya bergantung kepada keadaan individu tersebut. Menurut graf di bawah, komitmen kita semakin bertambah dengan pertambahan usia dan pertambahan bilangan ahli keluarga. Bagi memastikan pertambahan ini seimbang, kita hendaklah memastikan bahawa kita mempunyai pendapatan yang juga meningkat mengikut kadar masa dan pertambahan ahli keluarga. Persoalannya, adakah pendapatan kita akan bertambah dengan kadar seimbang dengan pertambahan komitmen? Inilah betapa peri pentingnya untuk kita membuat perancangan kewangan seawal mungkin bagi memastikan kelangsungan hidup kita ini dapat berjalan dengan sempurna tanpa menghadapi benyak permasalahan yang akan mengganggu kelangsungan hidup tersebut.



Persoalan kedua, adakah semua orang pandai membuat perancangan kewangan sendiri?. Sebenarnya dalam hidup ini kita tidak perlu untuk memahami semua perkara. Cukuplah kita faham perkara-perkara asas sahaja. Mengenai persoalan bagaimana untuk membuat perancangan kewangan sendiri, kita serahkan kepada yang ahli (pakar) dalam bidang tersebut. Sekarang ini dikalangan kita terdapat individu yang memang dilatih dan diberi lesen untuk menjadi penasihat perancangan kewangan secara sah dari sudut undang-undang. Contohnya seperti penasihat unit amanah, penasihat perlindungan takaful dan lain-lain yang seumpamanya. Jadi kenapa tidak kita menggunakan khidmat mereka ini sebaik mungkin. Mungkin ada yang risaukan caj perkhidmatan yang dikenakan. Untuk pengetahuan semua, caj yang dikenakan adalah cukup sedikit berbanding manfaat yang kita bakal perolehi. Lagipun caj tersebut kita boleh umpamakan sebagai bayaran upah di atas kerja-kerja mengurus yang mereka lakukan terhadap wang kita.

Sebelum saya mengakhiri penulisan untuk hari ini, suka untuk saya berkongsi suatu kisah bagaimana kesannya membuat perancangan dan secara tidak langsung menjadikan keluarga suatu aset yang berharga.

Kisah ini berlaku kepada seorang ibu tunggal yang kematian suami dan mempunyai seorang anak. Suaminya meninggal kerana terlibat dalam suatu kemalangan jalan raya. Nasibnya cukup baik kerana suaminya mempunyai skim perlindungan takaful. Bagi memastikan kelangsungan hidup dan masa depan anaknya, si ibu ini membuat pelbagai kerja sampingan dan pada masa sama beliau juga membuat suatu plan pendidikan untuk anaknya itu menggunakan wang takaful yang diperolehinya untuk membuka akaun plan tersebut. Setiap kali mendapat gaji atau upah, beliau akan menyimpan sedikit di dalam plan tersebut. Dipendekkan cerita, anaknya membesar dengan sihat dan menjejakkan kaki di menara gading. Semasa belajar di universiti, anaknya langsung tidak menggunakan biasiswa ataupun pinjaman ptptn. Dia menggunakan duit hasil plan pendidikan yang ibunya sertai. Setelah tamat pengajian, ada lagi duit lebihan dari skim tersebut. Mereka menjadikan duit tersebut sebagai modal untuk mereka memulakan perniagaan sendiri tanpa perlu meminjam dari pihak bank. Atas inisiatif anaknya yang bijak, dia mengajak rakan-rakannya yang lain untuk mengusahakan perniagaan tersebut dan perniagaan tersebut sedang berkembang maju.

Jika kita berada di tempat ibu itu sekarang ini, betapa rasa bertuahnya hidup sekarang ini. Adakah kita dapat lihat bagaimana si ibu itu telah menjadikan keluarganya sebagai suatu aset yang berharga. Semuanya bermula dengan langkah si ibu itu untuk memulakan perancangan kewangan.

Jadi bagaimana dengan diri kita sekarang ini. Adakah anda mempunyai target masa depan? Adakah anda sudah merangka suatu plan yang insyaAllah akan membantu kehidupan anda di masa depan? Jika tidak, mengapa tidak bertindak sekarang.

Bak kata pepatah:
orang yang gagal adalah orang yang gagal merancang.
Tidak risaukah anda dengan diri anda. Berusaha dahulu sebelum berserah kepada Allah.

untuk maklumat lanjut dan ingin tahu bagaimana,
sila hubungi saya
Sdr. Muhsein
no. telefon: 0177337842
email: mm_sinn@yahoo.com / m.muhsein@gmail.com

Wednesday, February 24, 2010

pelaburan oh pelaburan


KUALA LUMPUR: Dua syarikat yang disyaki menawarkan skim kepentingan yang tidak didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kepada orang ramai, diserbu SSM di sini semalam.

SSM, dalam kenyataan hari ini, berkata melalui siasatan yang dilakukan, syarikat berkenaan iaitu Hadhari Cattle Industry Sdn Bhd dan Hadhari Agro Holding Sdn Bhd dipercayai mempengaruhi orang awam untuk melabur di dalam satu skim yang dikenali sebagai "Projek Pembangunan Usahawan".

"Menurut aduan yang diterima SSM, pelabur yang telah melabur dalam skim tersebut tidak menerima pulangan yang dijanjikan oleh pihak pengurusan syarikat.

"Ia juga mungkin satu kesalahan di bawah Seksyen 366 (3) Akta Syarikat 1965 yang melarang sesiapa yang juga pegawai atau agen syarikat yang memperolehi apa-apa wang sama ada untuk syarikat, diri sendiri atau orang lain secara menipu atau berjanji palsu dengan niat untuk memperdaya," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, penganjur skim berkenaan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM30,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

"SSM akan mengambil segala langkah untuk membanteras penawaran skim termasuk tindakan penguatkuasaan ke atas penganjur skim tersebut," menurut kenyataan itu.

SSM menasihatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati sebelum menyertai sebarang skim pelaburan dan memastikan bahawa syarikat yang menawarkan skim pelaburan seumpama itu mendapat kelulusan SSM.

"Orang ramai diminta menghubungi Seksyen Aduan SSM di talian 03-22995477/ 5450/5451 sekiranya mempunyai maklumat mengenai skim-skim penipuan yang lain," menurut kenyataan itu. - Bernama


sumber: berita harian online

my comment:
baru sahaja 2,3 hari lalu ada kawan ajak terbabit dalam satu skim pelaburan baru. kononnya bukan skim MLM dan ikut syariah. tapi bila tanya ada lesen ngan bank negara, cakap benda ni tak ada kaitan ngan bank negara sebab guna wang pos. dalam hati ku terus cakap itu namanya money games. kalau kita tak dapat cari org memang xbalik modal laa.. ish tu pun tak leh fikir ke. satu lagi...kita ni bila disogokkan dengan kekayaan mula laa masa tu kita akan tertutup dengan kebenaran. yang hitam pun kata putih. dah tak leh beza dah yang baik dan terbaik.. pesan ku untuk diri ku...ada duit banyak tu laburlaa di tempah yang sah dan memang sah. laburlah di tempat yang boleh bagi pulangan yang lumayan dengan tempoh masa yang sesuai. kalau dh sekejap je boleh jadi kaya tu namanya skim cepat kaya..ok dah. xnak merepek panjang2

Wednesday, February 17, 2010

keSeiMbaNgan TanNgGungJawAb



mesti ada keseimbangan dalam amal islami

seorang pendakwah berhadapan 3 tanggungjawab:

1) Tanggungjawab terhadap dirinya
2) Tanggungjawab terhadap keluarganya
3) Tanggungjawab terhadap masyarakat

hadith Rasulullah SAW:
Sesungguhnya diri engkau ada hak ke atas engkau, isteri engkau ada hak ke atas engkau, tuhan ada hak ke atas engkau, maka berikanlah setiap hak itu kepada yang berhak.

Mereka yang tidak mahu terikat dengan cara ini dan tidak mahu berusaha untuk memastikan keseimbangannya, sebenarnya mereka ini dalam banyak ketika hilang faktor kemantapan dalam hidup mereka dan tidak memiliki kemampuan untuk terus berdakwah.

Tujuan keseimbangan ditekankan dalam islam adalah untuk memastikan keselarasan dakwah yang menyeluruh dalam segenap sudut kehidupan.

Di antara penyakit yang paling bahaya sekali menimpa para pendakwah dan orang-orang yang bekerja untuk islam ialah...


1) Tanggungjawab terhadap dirinya

-Ramai pendakwah membuang seluruh tanggungjawab terhadap diri dengan menyifatkan sebahagian daripada pengorbanan
-Perhatian terhadap aspek berikut penting dalam membentuk keperibadian islam:
a) bertanggungjawab terhadap tubuhnya iaitu menolak setiap apa yang melemahkan dirinya, menyusahkannya dan menyakitkannya
b) bertanggungjawab terhadap akalnya supaya cergas dan seimbang. Daie akan terancam bila outputnya melebihi inputnya
c) bertanggungjawab terhadap hatinya: mengukuh, membersih dan mengubatinya, menyuburkan urat sarafnya supaya taat kepada Allah



2) Tanggungjawab terhadap keluarga

a) pendakwah bertanggungjawab menegakkkan islam dalam keluarganya. hubungan suami isteri mestilah melebihi hubungan perasaan supaya hubungan ini menjadi asas meletakkan iman dan membangun sebuah rumah yang islam.
b)Daie bertanggungjawab menjamin hak-hak kebendaan rumahtangganya. tidak boleh memaksa isteri bekerja kecuali atas persefahaman. oleh itu kerjasama antara anggota keluarga menjalankan kewajipan harian.



3) Tanggungjawab terhadap dakwahnya

-merupakan kewajipan yang suci dan asasi yang tidak harus diabaikan dan dipandang ringan
-saudara muslim mesti berusaha menggandakan usaha dakwahnya tanpa menggugat teras keseimbangan
-pemberian saudara kepada islam dan dakwah hendaklah cukup sempurna dan lebih banyak, bukan sebaliknya, sebagaimana yang berlaku kepada mereka yang lokek dengan masa untuk pergi berdakwah.
-kerja dakwah mempunyai kelazatan yang tidak sama dengan kelazatan harta dan perempuan
-kelazatan dakwah ialah kelazatan hidayah. kelazatan itu berupa perasaan redha

...Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia. itulah kejayaan yang amat besar...
(surah al-maidah: ayat 119)

-kelazatan rasa ketinggian iman dan kemenangan jiwa dan masyarakat.
-sesungguhnya islam berkehendakan orang-orang yang suci dan dakwahnya, orang-orang dermawan pada jalannya, orang-orang yang takut akan suatu hari di mana terbalik seluruh hati dan pandangan.
-kemenangan orang mukmin yang sedikit itu bergantung kepada syarat kepatuhan mereka kepada allah secara keseluruhannya

kupasan buku: tasawwur asasi gerakan islam (oleh: fathi yakan)

kredit:
intipati usrah HELWA ABIM BP
15 feb 2010

pilihan kehidupan



semalam walaupun tangan ni cedera tetap degilkan diri untuk pergi isi air bertapis. Stok simpanan air sudah abis dan aku pula rasa begitu lemah. Rasanya akibat kekurangan air dan juga kehilangan darah (luka kecil jek..hehe). Kebetulan pula kereta zubair (housemate) ada. Empunya kereta menyertai program di UMK. Hari jumaat baru sampai balik.



Dengan mengambil semua tong (bekas) air yang ada ku bawa ke tempat yang biasa kami ambil. Kat sana ada 2 mesin berlainan jenama. Jadi macam biasa, mengambil air bermula dari bekas yang kecil. Seterusnya bekas yang makin besar. Tiba-tiba ada seorang Chinese boy keluar dari kedai berhampiran dan menegur ku yang sedang khusyuk. Aku senyum. Dia cakap kat aku "Gunalah mesin yang satu lagi". "kenapa..? mesin tu lagi bagus ke?" balasku. "kat sana lagi banyak" jawab budak itu lagi. aku senyum dan untuk tidak mengecewakannya aku beralih ke mesin sebelah. Budak tu pun turut bersusah payah menolong ku menggunakan mesin tersebut.

Sambil tunggu air memenuhi bekas tu sempat laa aku bertanya umur. Rupanya baru berumur 9 tahun. Dia tinggal kat kedai belakang mesin tu rupanya. Setelah selesai dengan mengucapkan terima kasih aku terus membawa semua bekas-bekas air ke dalam kereta. "peramah betul budak tu walaupun berlainan bangsa" bisik dalam hatiku. Owh baru ku perasan rupanya mesin yang kedua aku guna tu menggunakan sumber air dari kedai bapa budak tu. Patut laa dia bersusah payah suruh aku guna mesin tersebut. Tak silap aku, diorang pun dapat bayaran sewa dan penggunaan air. Bijak sungguh diorang ni. Walaupun sedikit tapi tetap cuba untuk dapatkan hasilnya.

Merenung balik ke dalam diri, bagaimana anak sekecil itu boleh menghasilkan pendapatan untuk keluarga. Itu mungkin latihan awal dan kulihat juga bagaimana usaha mereka untuk mendapatkan sumber pendapatan dari perniagaan dan menggunakan segala sumber yang ada untuk diperniagakan.



Sesekali ku terfikir..menjana pendapatan sendiri atau makan gaji? Nak ikut pada survival tentulah makan gaji yang selamat. Tapi bagaimana harus ku terus makan gaji sedangkan ku punyai pilihan untuk menjana pendapatan sendiri. Sampai bila juga harus ku teruskan hidupku dengan makan gaji..fuuhhh. Susahnya bila hidup dalam kebiasaan.

Tetiba teringat permainan catur bestari. Laluan makan gaji kemudian laluan tijarah dan seterusnya jihad bisnes. Semudah itukah laluan untuk ku mencapai kebebasan kewangan dan kebebasan hidup.



kan ku fikirkan lagi... =)

Monday, February 15, 2010

Teori `senjata ekologi' menukar cuaca dunia



Tsunami di Aceh, gempa bumi di Pulau Nias, perlanunan di Selat Melaka. Adakah ketiga-tiganya mengandungi agenda geopolitik asing terhadap Malaysia dan Indonesia di abad ke-21?

Soalan ini wajar dihalusi oleh kerajaan Malaysia dan Indonesia yang prihatin terhadap kesejahteraan Asia Tenggara, khususnya wilayah Nusantara yang mewarisi sejarah persahabatan sejak zaman berzaman.

Keprihatinan ini wajar berpaksikan hakikat bahawa di abad ke-21 memang ada kuasa besar yang mahu menguasai beberapa lokasi strategik di Asia Tenggara.

Antara lokasi tersebut ialah Selat Melaka yang dikuasai bersama oleh Malaysia dan Indonesia.

Selat Melaka dipercayai mahu dikuasai pihak asing kononnya untuk membanteras perlanunan dan terorisme yang dikatakan membahayakan pengangkutan minyak dan gas cecair asli dari Asia Barat dan Asia Tengah ke lain-lain destinasi di Asia Timur dan Lingkungan Pasifik.

Utara Sumatera dipercayai ideal dijadikan pangkalan laut tentera asing untuk menguasai pintu masuk ke Selat Melaka dari arah utara. Selatan Filipina dipercayai mahu dikuasai untuk dijadikan pangkalan laut tentera asing bagi mengawal Laut China Selatan.

Tenggara Thailand pula dikatakan ideal untuk dijadikan pangkalan udara tentera asing bagi memperkukuhkan pertahanan udara tentera asing berkenaan di Laut China Selatan.

Kekuasaan tentera asing ke atas seluruh lokasi strategik tersebut dikatakan akan melengkapkan strategi pertahanan tentera asing berkenaan bagi menghadapi sebarang ancaman yang mungkin ditimbulkan oleh China di abad ke-21.

Oleh itu, apabila tsunami membunuh lebih 250,000 rakyat Indonesia, salahkah kalau rakyat Malaysia-Indonesia bertanya, benarkah ia bencana alam? Mungkinkah tsunami itu angkara pihak yang mahu menguasai Indonesia, Thailand atau Malaysia?

Kalau tidak mungkin, mengapakah bekas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), William Cohen, pernah memberitahu satu seminar counter-terrorism pada April 1997, bahawa teroris sudah mula menggunakan `senjata ekologi' untuk menukar cuaca, meledakkan gempa bumi atau meledakkan gunung berapi secara jarak jauh dengan menggunakan gelombang elektromagnatik.

Menurut Cohen, perkembangan seperti di atas adalah benar. Lantaran itulah beliau menggesa supaya usaha-usaha counter-terrorism AS diperhebatkan untuk menangani gejala berkenaan.

Oleh itu, tidak mungkinkah yang dimaksudkan dengan `usaha-usaha counter-terrorism AS diperhebatkan' membawa erti bahawa AS juga wajar menguasai teknologi dan teknosains dalam bidang menukarkan cuaca, meledakkan gempa bumi, meledakkan gunung berapi secara jarak jauh menggunakan teknologi elektromagnatik dengan lebih baik dan lebih canggih daripada yang dikuasai oleh pihak teroris?

Jika hakikatnya demikian, tidak mungkinkah AS merupakan satu daripada kuasa dunia yang mempunyai teknologi dan teknosains mengenai peperangan cuaca ini?

Sebab itukah banyak pihak mempercayai bahawa tentera udara AS kini mempunyai kemampuan memanipulasikan cuaca, sama ada untuk ujian atau kegunaan sebagai senjata ketenteraan?

Sebab itukah maka ada pihak yakin bahawa antara kapabiliti ketenteraan AS mutakhir termasuklah teknologi pembikinan banjir, ribut taufan, kemarau dan gempa bumi?

Secara umumnya, teknologi memanipulasikan cuaca ini dikenali sebagai teknologi High-Frequency Active Auroral Research Program atau HAARP yang wujud sejak 1992. Pihak-pihak yang sinis terhadap HAARP menggelarkannya sebagai `teknologi maut'.

Ini kerana modifikasi cuaca dikatakan boleh menjejaskan plat tektonik di dasar lautan sehingga menyebabkan gempa bumi dan peralihan plat itu. Jika ini terjadi, akan meledaklah gempa bumi yang dahsyat sehingga mencetuskam tsunami.

Banyak pihak pula berpendapat bahawa teknologi ini boleh digunakan secara unilateral, secara ofensif, secara defensif, atau digunakan sebagai usaha-usaha pencegahan.

Teknologi ini dipercayai pernah digunakan ke atas beberapa `negara samseng'. Sebab itulah negara-negara terbabit telah mengalami pertukaran cuaca yang drastik sejak beberapa tahun lalu.

Manipulasi

Contohnya, Korea Utara dikatakan telah mengalami musim kemarau yang panjang dan kemudiannya diikuti pula oleh hujan dan banjir. Keadaan ini telah memusnahkan seluruh sistem pertanian di negara tersebut. Tidakkah ini akibat modifikasi cuaca yang digunakan sebagai senjata strategik?

Negara-negara seperti Iraq, Iran dan Syria juga mengalami keanehan cuaca sepanjang 1999. Adakah ini satu kebetulan? Atau, inikah kesannya manipulasi cuaca?

Afghanistan pula mengalami kemarau empat tahun berturut-turut sebelum ia dilanda Peperangan Antikeganasan Global (PAG) pada 2001. Akibatnya, seluruh ekonomi negara itu musnah dan rakyat jelatanya dicengkam kebuluran.

Adakah ini satu kebetulan? Bukankah ini kesan manipulasi cuaca yang digunakan sebagai senjata strategik oleh sesetengah kuasa besar dunia?

Dalam sesuatu peperangan, yang penting adalah matlamat, bukannya cara. Contohnya, sistem pertanian Korea Utara musnah tanpa sebarang ledakan bom ataupun kedatangan bala tentera asing untuk memusnahkan ladang-ladang di negara tersebut. Ia musnah akibat manipulasi cuaca.

Oleh itu, salahkah kalau hari ini ada pihak berpendapat bahawa manipulasi cuaca adalah satu senjata yang amat berkesan. Ia boleh digunakan ke atas negara musuh atau negara sahabat yang mahu dihuru-harakan atas sesuatu sebab tertentu?

Oleh itu juga, mustahilkah tsunami pada 26 Disember 2004 dan gempa bumi pada 28 Mac 2005 di perairan barat Sumatera adalah akibat persenjataan ekologi seperti di atas?

Adakah satu kebetulan apabila pada 17 Disember 2004, Presiden George W. Bush mengeluarkan arahan eksekutif memberikan AS kuasa mengawal seluruh lautan di dunia, dan sembilan hari sesudah itu terjadi gempa bumi dan tsunami di perairan Aceh, Indonesia?

Adakah ini satu kebetulan? Atau, adakah ini memang dirancang kerana Aceh adalah satu-satunya lokasi strategik sebagai pintu masuk ke Selat Melaka dari arah utara?

Bukankah lokasi Aceh strategik kerana di sana beroperasi sebuah syarikat petroleum yang besar? Di sana juga ia mempunyai rizab gas asli yang besar? Bukankah Aceh strategik kerana di sana terdapat Gerakan Aceh Merdeka yang disifatkan sebagai teroris sekutu Al-Qaeda?

Bayangkan. Kini Aceh jadi padang jarak, padang tekukur. Kesan tsunami di sana lebih teruk daripada ledakan bom nuklear. Dan, tanpa meledakkan sebutir bom atau sebiji peluru, ratusan ribu rakyat Indonesia telah pun terkorban.

Tanpa meledakkan sebutir bom atau sebiji peluru, beribu-ribu tentera AS sudah berada di Aceh. Inikah yang dikatakan sebagai peperangan strategik atau taktikal?

Soalan ini mesti ditanya, khususnya apabila `misi kemanusiaan' AS ke Aceh dikepalai oleh Leftenan Jeneral Blackman, jeneral perang yang mengepalai pencerobohan AS ke Baghdad pada Mac 2003.

Pada 29 Mac 2005, satu lagi gempa bumi yang besar berlaku di perairan pantai barat Sumatera. Gegarannya turut menggemparkan ribuan rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Johor.

Soalnya, adakah gempa itu juga benar-benar satu bencana alam? Mungkinkah ia akibat senjata ekologi seperti yang dihuraikan di atas?

Tidak mungkinkah gempa bumi berkenaan bertujuan mengalihkan tumpuan masyarakat Indonesia dan Malaysia daripada sesuatu yang lebih besar yang sedang dirancang dan boleh terjadi di Selat Melaka tidak lama lagi?

Kalau tidak, mengapakah kebelakangan ini gerakan perlanunan di Selat Melaka seolah-olah mendapat suatu nafas dan tenaga baru? Mungkinkah ini tindakan `lanun upahan' untuk merintis sesetengah kuasa besar menguasai Selat Melaka?

Atau, mungkinkah wujud sesetengah rakyat Nusantara sendiri yang sedang bersubahat dengan pihak asing untuk menghuru-harakan Malaysia dan Indonesia bagi memudahkan kuasa asing mencapai agenda geopolitiknya di Selat Melaka?

Rakyat Malaysia dan Indonesia yang prihatin wajar merenungkan seluruh huraian dan pertanyaan di atas. Kerajaan Malaysia dan Indonesia pula wajar berwaspada setiap masa walaupun teori konspirasi seperti ini disifatkan keterlaluan.

Wartawan Malaysia dan Indonesia juga perlu proaktif dalam pengutipan maklumat dan berita yang boleh menggemparkan Nusantara dengan ledakan yang mungkin lebih dahsyat daripada tsunami di Aceh atau gempa bumi di Pulau Nias.

Oleh RUHANIE AHMAD
Utusan Malaysia 7 April 2005

kredit: http://www.facebook.com/notes/zainudin-n-fauzana/teori-senjata-ekologi-menukar-cuaca-dunia/314260135743
Related Posts with Thumbnails