i k l a n

Thursday, March 21, 2013

rumah sewa

Bismillah

adoii...dah janji nak update blog itu hari tapi dugaan mendatang juga nak buat macamana kan. Ada je perkara yang menghambat untuk aku update entry blog ni. Anyway...seperti yang dijanjikan minggu lepas berkenaan dengan RUMAH SEWA Australia. 

Rumah sewa kat sini diuruskan oleh agen yang khas (diorang memang ada persatuan agen rumah sewa). Jadi setiap urusan akan diuruskan oleh agen dengan penyewa. Kita memang tak tahu siapa tuan rumah dan tak pernah bertemu. Sebelum layak menyewa sesebuah rumah, kita dikehendaki hadir dalam sesi inspection dan jika berminat, bolehlah diisi borang yang disediakan beserta dengan dokumen-dokumen yang perlu dilampirkan. Segala maklumat dan lampiran yang dikemukakan akan diberi markah. Sebagai contoh passport = 40 marks, lesen memandu = 40 marks, statement akaun bank pun ada markah, bil-bil yang pernah kita bayar dan lain lain. Dan minimum markah untuk layak menyewa adalah sebanyak 100 markah.

Jika layak menyewa, kita dikehendaki membayar BOND sebanyak nilai sewaan selama 4 minggu. Sewa rumah pula dibayar dua minggu sekali. Harga sewaan pula dikira setiap minggu. 


Inilah rumah yang kami sewa. macam besar tapi tak besar pun sebab rumah ini dibahagi kepada 3 unit. Aku duduk di unit 1 iaitu yang bahagian paling depan. Paling mudah tengok je gambar plan rumah yang aku buat (malas nak lukis betol-betol). Setiap unit rumah akan dibahagi kepada 3 ruang. Ruang depan (bersama dengan kitchen), ruang bilik dan ruang bilik air. Korang teka lah dari rajah kat bawah ni apa yang aku bagitau tadi. kekadang rasa macam rumah flat pun ya jugak.
Rumah kayu? memang rumah kat Queensland ni kebanyakkannya rumah kayu. Diorang panggil Queenslander house. Walaupun rumah kayu, kami bayar sewa rumah ni AUD240 seminggu. Plz jangan convert kepada RM. Kalau nak duduk yang best sikit leh duduk apartment. paling minimum ada 2 bilik dan rumah batu. sebab tu namanya apartment. Tapi sewanya lagi tinggilah dari harga yang kami duduk ni. 

Mari kita tengok di dalam. Aku cuba cerita kan perbezaan jelah. Maksudnya perkara yang berbeza antara Malaya ngan Australia

mula-mula kita bukak pintu rumah dulu. Kalo tak buka camne nak masuk kan
ni kunci rumah dari dalam. grill takde. kalo aku fikir camni pintu kat malaya mesti confirm rumah tak selamat

aku tunjukkan dari sudut yang berlainan. Korang rasa?

Ini pula pintu bilik. Macam biasa tgk kat malaya tapi bezanya takde kunci. Pintu bilik kat sini takde kunci. Jadi awasi perlakuan anda di dalam bilik!!

Tingkap lak camne..!!
Kita tengok tingkap pulak. Tingkap ni macam jugak kat malaya tapi bezanya?

Inilah bezanya. Tingkap ini hanya diselak (kunci) begini sahaja. Grill memang takde. Korang rasa selamat tak?

masuk rumah kena bukak lampu, kalo tak nanti gelap pulak kan. Meh kita buka lampu
Ini suis lampu. Klasik gitu. ada lagi?

Yang ni versi moden sikit. untuk bukak lampu bilik air

Yang ni untuk plug. Aku tunjukkan pelbagai versi 

Yang ni versi plug peti ais
 
 ni versi plug biasa-biasa

ni plug extension

kepala plug

hah...yang ni cuba korang teka plug apa? plug ni sebenarnya tak complete. Dia ada satu adapter untuk guna. Hint: Aku merana sebulan tak leh pakai internet sebab plug ni..!!

nilah adapter yang perlu untuk melengkapkan plug tersebut. Ini plug telefon okey

oh hooo...lupa pulak, walaupun rumah ni rumah kayu, tapi dalam dia ini macam. kawasan depan dilengkapi tile (jubin) manakala bahagian bilik dilengkapi karpet. macam kat hotel lah jugak.

tetiba rasa lapar
Ini dapur yang memang disediakan. dan ini merupakan dapur gas. tapi tong gas takde sebab kat sini gas pakai meter macam meter air. So dapur ini dilengkapi dengan set untuk grill dan Oven. 

Ini macam tombolnya

Air pulak?
Ini paip kat sinki. sebelah dengan dapur tadi. Boleh pilih nak air sejuk ke panas atau nak suam. 

Ini paip kat sinki dalam bilik air. satu panas n satu sejuk

Yang ni untuk shower. pilih nak panas or sejuk or suam

jap...tengok atas (shilling)
Ada pengesan asap. Ada kat dua-dua bahagian depan dan bilik. Awasi asap bila memasak

Ini penyapu n penyodok. Kalo sesapa tak tahu lah

Jom shopping...
Shopping trolley ini amat penting untuk kami sebab kami takde kereta. Paling banyak barang pernah bawak dengan troli ni seguni beras 5 kg, 1tin minyak masak, 5 kg ayam, barang-barang keperluan rumah. Memang mantap ini trolley. Lagi pun orang kat sini memang suka berjalan kaki n bawa trolley untuk shopping.

Sebelum keluar shopping a k a nak keluar rumah, gaya ini macam amat perlu
Ini bukan sekadar gaya, tapi untuk keselamatan dan kesihatan. Sila pakai cap n cermin mata hitam. Cahaya matahari kat sini sangat terik. Memang memedihkan mata, Cap untuk melindungi kepala. Sebab kat sini tetiba boleh berlaku hujan. Cermin mata juga penting untuk pastikan debu tidak masuk mata. Agaknya dah dua kali aku kena bab debu masuk mata ni sebab angin kat sini sangat kuat. Jadi pakai payung untuk panas or hujan memang tak leh guna sangat sebab mungkin payung anda akan rosak dan patah. 

ok sekian, huih...tak larat menaip panjang

Lupa pulak, soal keselamatan di sini inshaAllah terjamin. Tindakan dari polis sangat cepat. Jadi bila berlaku isu-isu berkenaan keselamatan, diorang akan terus paparkan di website untuk perhatian dan langkah berjaga-jaga.

Sesungguhnya jaminan keselamatan yang terbaek adalah dari Allah swt

Moga semua dalam redha Allah
Doakan kami di sini. 

sekarang kami sudah berTIGA

:)









Sunday, March 10, 2013

penyedap mata

it's beautiful not because it's a flower BUT because of the sincerity of the sender

ini bunga rumput kat depan rumah. aku cabut dan letak dalam gelas. sekali tengok cantik pulak. snap satu gambar. 

sungguh cantik sebab ia datang dari Yang Maha Memberi

Have a nice day

lapor diri

sesungguhnya hari ini aku bertekad nak update blog ni
hari ni lepas subuh aku dah tak tido walaupun tilam dan selimut tebal memanggil manggil
persekitaran yang sejuk dan damai juga seperti tak merelakan aku untuk menghadap komputer

ini semua dugaan

Ya..aku bertekad nak update blog ni sebab aku dah janji dengan beberapa orang nak share gambar dan pengalaman aku kat negara kangaroo. Banyak sebenarnya yang aku nak share tapi tapi tapi MASA dan SUASANA baru ni memang sangat menduga jatidiri aku untuk bertindak lebih efektif

Ya..aku terpaksa tidur lagi seusai subuh walaupun aku tahu ia tidak bagus untuk rezeki. Bak kata pepatah, kalo tidur lagi selepas subuh, rezeki mu hilang dipatuk ayam. Oh hoiiiii...malu aku dengan ayam. Tapi apa nak buat kalo dah subuh masuk jam 3 pagi dan subuh habis jam 5 pagi. itu semua waktu aku mula-mula sampai. sekarang agak okey sikit lah sebab waktu subuh dah agak lewat, selewat jam 4.30 pagi dan habis selewat jam 5.45pagi.

Ya selimut memanggil manggil tat kala aku cuba untuk tidak tidur selepas subuh. Pernah aku cuba untuk membaca beberapa surah seusai subuh, namun seusai membaca surah, aku terpaksa juga menarik selimut. Walaupun bukan lagi musim winter tapi sekarang ini musim peralihan dari summer kepada autumn (ohhh..teringat cerita autumn in my heart) tapi penangan ribut cyclone yang tak habis habis membaham bumi kangaroo ini, lebih lebih lagi dibahagian tanah permaisuri (queensland). Aku alah pada sejuk apatah lagi bila angin dan sejuk bergabung maka selimutlah yang jadi pengganti lemak badanku.

RUMAH

rumahku adalah sebuah rumah kayu, namun beralas simen dan karpet macam kat hotel. tapi disebabkan kitorang masih belum beli heater (sebab belum masuk winter lagi) maka tanggunglah kami dengan segala kesejukan setiap hari.

cuma hari ini aku dapat lawan lebih sikit, mungkin berkat azimat yang aku baca malam tadi seusai isyak dan sebelum tutup mata untuk aku buat segala urusan di awal pagi. Aku baca berulang ulang kali mohon dari kuasa yang kekal dan tidak mati. Nah pagi ini, seusai subuh dan baca surah surah, aku telah diizinkanNya untuk duduk menghadap komputer dan melaporkan diri aku yang telah berada di bumi kangaroo ini yang telah masuk SEBULAN lebih.

sekian untuk kali ini, esok hari aku cuba lagi untuk membaca mentera yang lagi dahsyat supaya entri esok akan lebih korang nantikan

laporan dibuat dari duke street, annerley, qld, aus 4103


Thursday, February 28, 2013

tips mencari orang hilang

dah lama tak buat kerja zaman student dulu. copy n paste

lewat ini banyak kejadian orang hilang, kena culik dan bagai lagi yang bermotif DUIT.
Jadi hari ni nak share tips yang dibuat oleh rakan fb saya Sdr Ghazali Haji Abu untuk mencari orang yang hilang. Moga bermanfaat...


Setiap kali saya menerima email berkenaan orang hilang, saya selalu cuba membantu dan dalam beberapa kes bantuan itu dapat menjejaki orang yang hilang (OH) tersebut atau memberikan clue untuk proses pencarian seterusnya, biasanya utk kes lari dari rumah. Oleh kerana ada sedikit pengalaman mencari orang hilang ini, saya ingin berkongsi beberapa tips pencarian di sini. Mungkin bermanfaat untuk orang lain.

Tips
1. Dapatkan no kad pengenalan orang yang hilang dan orang-orang yg disyaki melarikan/lari bersama/menculik orang yang hilang.
2. Buat laporan Polis. (Ini bukan tips tapi langah ini penting untuk memudahkan urusan seterusnya kerana kita boleh mendapat kerjasama yang lebih baik dari pelbagai pihak bila menunjukkan salinan laporan polis tersebut, pastikan ada no telefon pegawai penyiasat (IO) utk dirujuk bila diperlukan)
3. Cari kawan2 atau saudara mara yang ada kawan ynag bekerja di syarikat atau institusi berikut(sy akan berithau mengapa nanti);
  a. semua bank utama (Maybank, CIMB. BSN dll) lebih baik lagi jika tahu secara tepat orang hilang menggunakan bank mana.
  b. Syarikat telekomunikasi (telekom. Maxis, Digi, Celcom)
  c. Perkeso(socso), KWSP, Imigresen.
  d. JPJ dan Polis Trafik

 4. Utk bank;
Dapatkan maklumat transaksi terbaru OH. Bank mempunyai keupayaan mengesan tarikh masa & dimana transaksi tersebut dibuat. Cthnya pengeluaran dari ATM CIMB KLCC walaupun akaun OH bukan dgn CIMB. Biasanya semua ATM mempunyai CCTV berdekatan mereka jadi boleh berhubung dgn bank tersebut utk mendapatkan maklumat lanjut. Jika bank tidak memberikan kerjasama selepas ditunjukkan salinan laporan polis hubungi IO utk meyakinkan bank atau minta IO untuk medapatkan maklumat tersebut.
Masukkan sedikit duit secara berkala cthnya RM50 seminggu agar OH akan sentiasa membuat transaksi di ATM atau bank dan lokasinya dapat dikesan dengan lebih mudah. ini juga mengelakkan OH berada dalam keadaan terdesak dari segi kewangan dan terlibat dlm aktiviti tidak sihat.
Rekod kad kredit juga boleh digunakan untuk kaedah yang sama.
Satu cara yg tidak digalakkan utk dilakukan tapi boleh dilakukan, jika perlu ialah mengarahkan bank utk block kad ATM OH. Ini akan menyebabkan OH terpaksa pergi ke cawangan berdekatan untuk mendapatkan penjelasan atau Kad Baru. Dengan cara itu imej OH akan dirakam di CCTV bank. Bank juga boleh diminta bekerjasama utk menghubungi POLIS jika OH hadir ke kaunter(ini sy tak pernah buat).
Bank adalah jalan paling berkesan mengesan lokasi OH secara tepat. Jika pengeluaran dilakukan oleh orang lain menggunakan kad ATM OH Polis akan mendapat jln utk meneruskan siasatan.

5. Sykt Telekomunikasi
Dpd kad pengenalan OH dan suspek terdekat sykt telekomunikasi boleh mengesan rekod panggilan, rekod penghantaran sms dan dari pencawang mana panggilan itu dibuat cthnya paggilan dibuat dari pencawang Sg Wang, KL. jadi kita tahu secara umum OH berada dikawasan tersebut. No telefon yg dihubungi OH dan SMS juga dirakam oleh Sykt komunikasi jadi ia boleh menjadi bahan utk membantu POLIS meneruskan siasatan.

6. Perkeso/Socso/ KWSP
Orang Hilang (OH) dari Sabah dan Sarawak kadang2 melarikan diri ke Semananjung untuk mencari pekerjaan. Oleh itu rekod pekerjaan mereka akan dirakam oleh Perkeso dan KWSP apabila mereka membuat caruman. Oleh itu, Polis boleh dapat mengesan secara terus di mana mereka sebenarnya bekerja.

7. JPJ dan Polis Trafik
Boleh cuba mendapatkan kerjasama dari JPJ atau polis trafik utk block roadtax renewal bagi kenderaan OH atau orang yg disyaki sedang melarikan/bersama OH. Ini akan menyebabkan mereka terpaksa berhubung secara telefon atau datang sendiri ke pejabat JPJ berdekatan untuk mendapatkan penjelasan dan menyelesaikan masalah mereka. dengan cara ini Polis dapat mengesan samada Oh sendiri hadir atau org yg disyaki bersamanya membawa OH bersama untuk menyelesaikan maslaah tersebut dan CCTV akan merakam imej mereka. 
 Semua tips di atas berhubung kait dan saling melengkapi, jadi jangan bergantung pada satu kaedah shj.

Di samping usaha2 fizikal ini, usaha dalam bentuk spiritual iaitu berdoa dan melakukan solat hajat hendaklah sentiasa diteruskan. Antara kaedah yg dicadangkan (bukan satu-satunya kaedah) ialah solat hajat ditengah malam dan menghadiahkan Al-Fatihah kepada Roh Orang Hilang tersebut.


Semoga ada manfaatnya. Siapa nak share silakan.

Wassalam,

Saturday, February 16, 2013

menjengok

salam dari pharmacy australia center of excellent (PACE)

menumpang bertenet di office isteri sambil menunggu isteri menyiapkan beberapa kerja makmal. masih menunggu sistem internet kat rumah siap. patutnya dah lama berfungsi tapi disebabkan masalah diluar jangka, terpaksa menunggu lagi seminggu. inshaAllah dah ada internet nanti aku akan share perkara-perkara yang aku alami selama berada di bumi kangaroo ni.

nantikan :)

Sunday, January 6, 2013

persediaan awal

hari ini aku nak bagi post pendek je. Aku terjumpa satu diagram menarik untuk membesarkan anak sedari awal kelahiran hinggalah dia membesar. Aku jumpa kat fb ustaz Dr Zahazan. saja nak share dengan kalian. Aku pun perlu jugak benda ni. Semoga dapat manfaat

Klik pada imej untuk lebih besar dan jelas

Saturday, January 5, 2013

perempuan tak leh baca peta & lelaki minat bola sepak

Adoiii...sejak nikah ni asyik post pasal nikah kawen je. okey kali ini ubah topik santai sikit. Kali ini entri yang aku ubah suai dari satu artikel dari majalah Anis bil.180. Namun begitu artikel ini ada kaitan jugaklah dengan alam perkahwinan. Moga ia jadi panduan buat semua.


Aku sebenarnya sangat tertarik dengan tajuk artikel dalam majalah tu masa membeleknya di rumah akak. Terus aku baca. Apa yang menarik minat aku untuk membaca tentang artikel ini adalah sebab aku pernah mengalami kejadian berkenaan tengok peta ni dengan isteri. Masa tu kami gunakan peta yang ada dalam navigasi telefon kami. Namun agak kesian dengan isteri yang agak stress melihat peta yang dipaparkan dan menjadi pemandu arah untuk aku yang jadi driver. Sehinggalah aku terjumpa artikel ni barulah aku sedar tentang hakikat sebenar keupayaan seorang wanita.

Kebanyakkan wanita memang tidak dapat membaca peta dengan sempurna kerana mereka tidak dibekalkan  keupayaan mengagak (spatial ability) oleh Allah di dalam otak mereka. Ini adalah hakikat ataupun realiti utama yang perlu kita faham dan terima terutamanya untuk seorang lelaki bagi memahami jiwa isteri atau wanita.

Kajian oleh Prof. Camilia Benbow daripada Lowa State University (1983) terhadap lebih sejuta anak-anak lelaki dan perempuan mendapati bahawa anak perempuan pada umur empat tahun boleh melihat rajah 2 dimensi tetapi anak lelaki lebih mampu melihat rajah 3 dimensi. Ini bermakna jika anak lelaki di bawa ke satu tempat dan ditinggalkan sendirian, dia masih boleh kembali ke tempat asal, sebaliknya untuk anak perempuan akan tersesat.

Ia juga jelas bila kita lihat dari sudut minat wanita itu sendiri yang kurang berminat  melakukan aktiviti yang melibatkan jarak, kelajuan dan lokasi tertentu. Bagi lelaki ia sangat penting. Itulah hikmahnya Rasulullah SAW sendiri menyuruh untuk anak lelaki dilatih memanah. Ia bagi memantapkan skill mengagak selain meningkatkan daya tumpuan mereka. Satu kesilapan yang harus dielakkan untuk anak lelaki dibiarkan menghabiskan masa di depan komputer bermain game kerana ia permainan yang hanya melibatkan pergerakan jari dan tangan sahaja.

Selain itu, orang lelaki juga amat teruja dan puas dengan melihat lelaki lain melakukan keupayaan mengagak dengan tepat pada sasaran dan masanya. Tidak hairanlah memang ramai lelaki yang minat melihat permainan bola sepak walaupun hakikatnya mereka pun tidak bermain bola sepak. Aktiviti dalam sukan bola sepak seperti mengelecek, mengumpan, strategi menghantar bola dan menyumbat gol dengan gaya dan kelincahan adalah sangat mengujakan untuk lelaki lain. Kepuasannya itulah yang menyebabkan hormon testosteron meningkat dan secara tidak langsung menghilangkan stress harian yang dihadapi. Tapi awas jika tewas atau permainan yang kurang memberangsangkan boleh menyebabkan sebaliknya.

Sedikit tips untuk seorang lelaki yang gantleman:
1) isteri memang sukar untuk buat "side parking". Seboleh mungkin andalah yang tolong parkingkan kereta untuk mereka.
2) jika perlu guna peta, bacalah dan fahamilah peta tersebut sebelum memulakan perjalanan dan jangan sesekali mengharapkan bantuan isteri untuk menjadi penunjuk arah kita dalam perjalanan. Jika perlu hanya minta isteri untuk sahkan landmark atau papan tanda yang ada sahaja
3) kalau isteri perlukan peta, cubalah carikan peta 3 diemensi yang lebih jelas kelihatan bentuk muka buminya dari udara.
4) jika isteri perlu bersendirian ke sesuatu tempat yang baru, galakkan untuk mereka menggunakan teksi atau ada orang lain yang boleh menjadi pemandunya atau boleh juga isteri memandu kereta sendiri tapi dengan mengekori kereta lain yang telah biasa di kawasan itu.
5) jika ada panggilan telefon meminta isteri atau mana-mana wanita untuk menunjukkan jalan, eloklah tawarkan diri membantu orang itu daripada membiarkan isteri terseksa menerangkan arah tuju. kemungkinan besar boleh menyebabkan orang itu bertambah sesat.

Tips penting untuk para isteri:
1) jika suami memandu dan tersesat jalan, jangan sibuk-sibuk nak minta bantuan orang lain (melaikan diminta oleh suami). Apa yang isteri boleh lakukan adalah diam atau katakan padanya "susahkan nak cari rumahnya"
2) jika suami mahu menonton bola, biarkan dia dengan aktiviti tersebut. bagilah peluang untuk dia mendapat kepuasan dan melepaskan stressnya. seboleh mungkin jangan menghalang suami dengan aktiviti anda yang lain. Isteri kenalah bersedia untuk mewujudkan aktiviti lain untuk dirinya semasa suami menonton bola.

Tips untuk suami dan isteri:
Hanya kesabaran dan menghormati perbezaan keperluan dan kehendak masing-masing  sahajalah yang dapat mengekalkan kebahagiaan suami dan isteri.

hakikat dari sebaris lafaz

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang


Agak sudah lama tidak menulis. Entri untuk kronologi pernikahan tu pun agak lama ambil masa untuk disiapkan lantaran beberapa urusan segera yang perlu dilangsaikan. Hari ini aku cuba rungkaikan beberapa persoalan dari rakan-rakan tentang hakikat sebenar yang kami perlu tempuhi dalam membina sebuah ikatan yang sah.

"Waahhhh mudahnya"
inilah reaksi rakan, kenalan dan sahabat handai bila mendengar bagaimana kami bernikah. Sekali dengar memanglah mudah, realiti yang kami lalui tidaklah semudah kami bercerita. Maklumlah bila bercerita ni biasanya tidak semua bahagian dimasukkan. Bak kata isteri semasa dalam proses seminggu mengurus pernikahan kami "memang kita nak permudahkan, tapi yang mudah tu tidaklah semudah seperti sangkaan kita". Namun kami sangat bersyukur, segalanya tetap mudah sebenarnya atas rahmat dan kasih sayang Allah.

Bila dibuat fact finding balik,
Kami berkenalan dengan memohon restu dan petunjuk dari Allah. Yakni melalui istikharah. 
Kemudian kami juga meminta restu dan pendapat kaum keluarga terutamanya IBU dan AYAH. 
Setelah mendapat restu keluarga, barulah kami berhubung. Itu pun atas dasar untuk berbincang tentang perancangan dan membuat penetapan bersama. (Boleh rujuk semula entri Kronologi perkahwinan)

Alhamdulillah, dengan restu dan petunjuk Allah serta restu dan pendapat Keluarga segala urusan kami menjadi lebih mudah. 

Sebenarnya entri ini ditulis bilamana kami (Aku dan Isteri) kerap kali menjadi bahan rujuk dari adik-adik yang memohon pendapat tentang masalah masing-masing tentang nikah kawen. Terutamanya masalah keluarga tak restu.

Persoalan yang biasa aku ungkit kembali adalah, adakah kalian mendapat restu Allah sebelum membuat keputusan untuk menjalin hubungan? Kalian membuat keputusan sendiri untuk menjalin hubungan tanpa meminta restu (petunjuk) Allah dan tanpa juga restu Ibu Ayah dan kalian nak menyalahkan Ibu Ayah yang tidak memberi restu setelah hubungan itu berlarutan lama?

Aku melihat kepada kesilapan kita dalam memilih konsep hidup adalah punca utama. Ramai orang tahu tentang halal haram hukum agama tapi tak ramai yang rasa peri penting untuk diikut dan dipatuhi. Aku teringat kata-kata tegas Naqib usrah kami kepada salah seorang ahli usrah kami yang terlibat dalam cinta sebelum nikah, katanya "Syeikh, enta balik lepas ni enta bincang dengan girlfriend enta bila nak nikah secepat mungkin. Kalo lambat lagi enta kena putuskan dulu hubungan cinta enta. Ana sebenarnya takut enta kena kafarah dosa cinta enta tu kemudian hari. Kalaupun enta memang bernikah dengan dia lepas ni, ana risau enta akan terima kafarah yang mungkin menyebabkan rumahtangga enta nanti bergolak sampai nak bercerai berai, nauzubillah"

Kata-kata itu sungguh menusuk hati aku sebenarnya ketika itu. Ye lah siapa yang tak pernah buat silap. Langkah terbaek tinggalkan dosa tersebut dan mulakan langkah yang baru ke arah mencari redha Allah. Bila difikir balik dan dilihat orang sekeliling aku sendiri, telah berapa ramai rakan-rakan sebaya aku yang dah jadi janda dan duda muda. Ada yang ada anak 2,3 orang pun boleh bercerai dalam usia muda. Sangat menggerunkan. Apatah lagi usia rumahtangga aku sendiri yang baru menginjak bulan. Nauzubillah dari segala hal tersebut. 

apa pun, aku nak katakan...sila pastikan hakikat dari sebaris lafaz ijab dan qabul itu penuh terisi dengan rasa kesediaan bertanggungjawab beserta restu Allah dan IbuAyah demi mencapai Redha Ilahi.

Hakikat dari sebaris lafaz itu, terkandung sejuta hikmah, berserta berjuta lagi kebaikan dan ibadat yang tidak ada bagi yang belum bernikah. 

ohhh...penulisan aku hari ini agak tegas pulak rasanya

hakikat adalah realiti

Related Posts with Thumbnails