Bagaimana hidup kita hari ini? rasa susah atau senang? rasa miskin atau kaya?
Tak kisahlah kita rasa bagaimana sekalipun, yang penting kita memahami makna disebalik rasa tersebut.
Hakikat yang harus kita fahami tentang kehidupan ini adalah UJIAN.
Kehidupan ini sebuah UJIAN samada kita di fasa susah atau di fasa senang.
Jika kita di fasa susah, maknanya kita diuji untuk kita kuatkan semangat, cekalkan hati, tabah dan redha. Yang lebih penting untuk kita berusaha dan bangkit mengubah rasa susah itu. Usaha dan kebangkitan itulah yang akan menatijahkan kita untuk berubah ke fasa senang.
Jika kita di fasa senang, maka itu ujian juga untuk kita menguruskan saat-saat senang itu dengan sebaik mungkin. Mengurus kesenangan ini penting supaya kita dapat terus konsisten dalam kesenangan. Jika gagal dalam ujian ini, mungkin kita akan berpindah ke fasa susah.
Jika kita di fasa miskin. Itu ujian untuk kita hidup berdikit-dikit. Mengurus sumber yang ada sebaik mungkin. Ada duit sikit, kita tabungkan. Ada lebihan lauk kita simpan dan panaskan untuk di makan esok hari. Peralatan elektrik yang tidak digunakan dimatikan suisnya. Bila mendapat peluang untuk maju, kita rebut dan jayakan. Natijahnya bagi si miskin akan berubah menjadi si kaya tidak lama lagi.
Jika kita di fasa kaya. Itu ujian untuk mengurus kekayaan. Bagaimana harta kekayaan yang kita ada ini kita dapat manfaatkan. Adakah kita jadi pemboros, tamak dan haloba. Maka mungkin selepas ini berubahlah kita menjadi si miskin.
Di fasa mana sekalipun kita, kita kena sentiasa ingatkan diri dengan ujian ini. Cuba fahami dan realitikan betapa setiap fasa yang kita lalui setiap saat itu adalah ujian untuk kita.
Kata kunci dari semua itu adalah SYUKUR dengan apa yang ada. USAHA untuk penambahbaikkan. SABAR bila diuji. SOLAT untuk mengadu pada ALLAH swt.