Pengalaman menarik tinggal disitu adalah perjalanan waktu malam. Ini bukan israk mikraj versi aku. Seperti kebiasaan aku suka berjalan dan memerhati. Melihat sesuatu perkara dan memikirkan tentang diri dan kebesaran Allah swt. Perjalanan waktu malam sebenarnya berlaku ketika ke surau yang berhampiran dengan taman perumahan tersebut. Memang lebih selesa berjalan kaki ke surau, faktor jarak yang terlalu dekat menyebabkan aku memilih berjalan kaki walaupun mempunyai motorsikal. Biasanya ke surau tersebut waktu malam sahaja sebab siang hari biasanya masa habis di kampus dan di luar kawasan.
Perjalanan melalui deretan rumah di kiri dan kanan jalan. Kita akan melihat perbezaan antara rumah orang islam dan bukan islam. Biasanya rumah orang islam akan tertutup rapat bermula maghrib. Jadi kita tidak dapat melihat aktiviti yang berlaku dalam rumah. Berlainan dengan rumah orang yang bukan islam, pintu rumah mereka masih terbuka. Jadi kadang-kadang aku dapat melihat aktiviti mereka yang sedang makan dan menonton tv. Biasanya itu sahajalah aktiviti yang kita nampak sekilas pandang di ruang tamu rumah mereka. Bukan niat untuk melihat aktiviti mereka, menundukkan pandangan sekalipun tetap terpandang juga sekali sekala.
Tiada apa yang menarik sebenarnya dari pengalaman perjalanan malam tersebut jika kita tidak berfikir dan mengaitkan dengan kebesaran Allah swt. Ketika sedang berjalan tu, aku terfikir betapa agungnya suruhan Allah untuk kita menunaikan solat 5 waktu sehari semalam. Mengaitkan balik kawasan perumahan lama, kebanyakkan pemilik rumah tersebut adalah orang-orang lama. Dalam kata lain adalah orang tua. Begitu juga dengan penghuni rumah yang lain-lain, kebanyakkannya ada orang tua namun tidak terkecuali wujud juga golongan muda, remaja dan anak kecil.
Biasanya orang-orang tua ni merupakan golongan yang dah pencen, tak bekerja, ada yang sedikit uzur dan tak sihat. Bagi orang yang sudah biasa bekerja, hidup tanpa melakukan sebarang kerja adalah sesuatu yang kaku, beku dan meresahkan. Kadang-kadang boleh menjadikan pemikiran pun pening. Badan pun akan jadi tidak sihat. Tapi bagi golongan yang dah pencen dan tua, apalah kudrat kerja yang boleh dilakukan. Paling-paling tidak mengemas rumah, cabut rumput di halaman rumah, tengok tv, baca surat khabar, makan dan tido. Pengalaman aku sendiri dengan aktiviti begitu sepanjang hari, minggu dan bulan amatlah membosankan dan tidak produktif.
Itulah hikmahnya suruhan melaksanakan solat. Ada kawan aku yang lebih alim katanya suruhan solat ini dinyatakan sebagai mendirikan solat. Untuk berdiri memerlukan kudrat dan kemahuan. Bukan saja-saja mahu berdiri apatah lagi kalau wujudnya kerusi disekeliling kita. Jadi suruhan solat ini sebenarnya secara tidak langsung telah mewujudkan suatu aktiviti yang sangat sihat dan produktif. Dalam solat adanya aktiviti membaca dan pergerakan anggota badan. Bagi individu yang lebih faham, aktiviti solat ini ditambahkan dengan pemahaman makna bacaan, mewujudkan satu interaksi tanpa wayar dengan Allah, secara tidak langsung terapi ketenangan jiwa juga hadir.
Pelaksanaan solat yang terdiri dari 5 waktu dalam sehari telah menjadikan satu aktiviti yang sihat kepada tubuh badan. Secara tak langsung kita pun tidak akan rasa boring tanpa aktiviti dalam hidup. Hatta dalam keadaan sakit sekalipun diwajibkan untuk kita solat. Mungkin bila sakit terlantar kita tidak dapat berdiri, tapi solat tetap dapat dilaksanakan dengan cara yang semampu mungkin oleh setiap orang mengikut keadaan yang dibolehkan. Antaranya solat sambil duduk, berbaring bahkan melalui isyarat. Sedikit sebanyak aktiviti solat ni telah membantu kita untuk tidak boring lagi terutamanya bagi orang tua dan orang sakit. Ini belum lagi dilaksanakan secara berjemaah. Lagi lah besar dan banyak hikmahnya.
Aku sangat terkesan dengan aktiviti solat ni, bilamana aku sendiri pernah duduk dalam situasi membuat aktiviti rutin je sepanjang hari. Air wuduk yang diambil telah memberi kesegaran pada wajah dan pemikiran. Pergerakan solat telah melonggarkan sendi-sendi dan menggerakkan otot. Walaupun solat dilakukan berkali-kali dan berulang-ulang dari kecik sampai ke tua, ia tetap tidak membosankan seperti mana aktiviti lain dalam hidup. Rasailah menunaikan dengan penuh penghayatan dan penyerahan diri kepada Allah itu sangat mendamaikan dan mententeramkan jiwa.
kadang-kadang duduk di australia ni sebagai househusband memang memboringkan, apatah lagi kerjanya asyik makan-makan dan makan. Kekadang saya bertanya kepada isteri "kita ni asyik makan je, boleh tak kalo kita tak makan..?" sambil tergelak-gelak.
boring makan tu sebab nak kena masak, nak kena masak nak kena pikir menu, dah pikir menu nak kena sedia bahan, dah sedia bahan nak kena masak, bila dah masak dan sedap-makan sampai habiss, bila habis nak kena masak lain pulak untuk makan seterusnya. Memang dasar bekas bujang makan kat kedai :P
Sekadar coretan untuk menggerakkan balik neuron dalam otak setelah membeku lama di Australia ;)
Wallahualam
pizza dan nandos halal - menjamu selera di Bribie Island
No comments:
Post a Comment