i k l a n

Friday, March 6, 2015

Jangan hina mereka walaupun mereka bukan warganegara kita

Suatu hari ketika dalam mood raya korban, saya melayari mukabuku. Saya tertarik dengan satu gambar yang menunjukkan sebaris warganegara Bangladesh sedang menyaksikan upacara korban lembu. Saya membaca caption gambar tersebut tentang betapa teruknya mereka yang berkorban lembu di situ yang langsung tidak memberikan walau secebis daging kepada warganegara asing yang hadir di situ. 

Rungut saya dalam hati,

"Apa masalah kita sebenarnya? Tak faham atau tiada kefahaman. Mereka itu saudara seagama dengan kita. Lagipun setiap bahagian korban kita itu perlu dibahagi kepada tiga bahagian dan perlu diagih-agihkan. Siapa lagi yang terlebih layak untuk kita agihkan daging tersebut kalau bukan kepada mereka. Apakah daging itu hanya untuk orang terpilih saja. Wallahualam"

Itu satu kejadian yang berlaku dalam masyarakat kita yang melibatkan warganegara asing. Secara umumnya warganegara asing yang berkulit agak gelap akan dipandang rendah oleh orang kita. Terlebih dipandang rendah bila mereka ini bekerja sebagai kuli. Biasanya warganegara Indonesia dan Bangladesh. Kita biasa panggil mereka "INDON" dan "BANGLA".

Saya kadang-kadang rasa terganggu dengan sikap sebegini. Ya...diakui saya juga pernah berfikiran dan beranggapan sedemikian juga sebelum ini. Tapi bila saya belajar tentang konsep umat islam itu saudara seakidah yang harus dibantu, cara berfikir saya telah mula berubah. Dan perubahan itu lebih ketara bila saya berkelana di luar negara dan hidup di negara asing. 

Saya kongsikan beberapa peristiwa sepanjang saya tinggal di Brisbane, Australia. 

Peristiwa 1:
Berada di negara yang agak asing dan bangsa kita yang hanya beberapa orang ini menyebabkan ikatan dan perhubungan kita agak erat dan rapat. Untuk memastikan survival hidup berkeluarga di sana, ada beberapa orang kita yang bekerja sebagai cleaner untuk mencari duit tambahan, Cuba bayangkan bagaimana keadaannya jika orang-orang Oz ni pandang rendah pada cleaner-cleaner warganegara kita? Cuma ada bezanya, cleaner di sini dibayar dengan harga yang agak tinggi sebab penggunaan tenaga yang banyak. Kebanyakkan mereka memilih untuk menjadi cleaner di waktu malam hari. Kalaulah disebabkan pekerjaan seseorang itu kita memandang tinggi atau rendah pada mereka. Jadi bagaimana pula dengan situasi yang saya ceritakan ini. Sedangkan ada diantara mereka ini sebenarnya adalah penjawat awam yang dipandang tinggi di Malaysia. 

Peristiwa 2:
Suatu hari masjid yang berhampiran tempat tinggal kami telah mengadakan gotong royong sempena menyambut ramadhan tiba, Disebabkan saya tiada apa-apa pekerjaan pada hari tersebut. Saya turut sama terlibat dalam gotong royong tersebut. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk membersihkan bahagian-bahagian khusus di masjid tersebut. Satu kumpulan dengan saya adalah seorang dari Indonesia dan seorang lagi dari Bangladash. Yang menariknya mereka semua boleh bercakap bahasa melayu. Saya fokuskan kepada Bangladash. Dia dapat berbahasa melayu sebab pernah bekerja di Malaysia. Beberapa tahun bekerja di sebuah kilang di Penang. Setelah tamat kontrak di sana, mereka pulang ke Bangladash. Sebelum pulang, mereka pergi bercuti sebulan di Bali. Setelah enjoy sakan duit dari gaji di Malaysia. Mereka datang pula ke Australia untuk mencari pekerjaan baru di sini. Bila berada di Australia ini, saya rasa mereka juga sama tarafnya dengan kita. Tidak lagi kita gelarkan mereka dengan "BANGLA". Begitu juga dengan saudara dari Indonesia. Dia di Australia sebab ada tugas sebagai specialist untuk perlombongan arang batu. Dibayar gaji dengan harga yang tinggi. Di antara kami bertiga, mamat yang kita biasa panggil "INDON" inilah yang patut dipandang tinggi jika dilihat dari perspektif pekerjaan. 

Peristiwa 3: 
Di Australia biasanya saya dan isteri menggunakan pengangkutan awam untuk bergerak. Suatu ketika kami ke Asean market yang terletak agak jauh dari bandar yang kami duduki. Disebabkan itu adalah asean market, maka banyaklah barang-barang yang kami beli untuk dijadikan stok di rumah. Jadi untuk mengangkut menaiki bas agak memenatkan. Sebabnya kami perlu menukar beberapa bas sebelum sampai ke daerah kami dan perlu pula membimbit untuk sampai ke rumah. Secara ringkasnya kami bersetuju untuk menggunakan teksi. Pemandu teksi adalah warganegara africa. Saya tidak ingat dari negara mana secara tepat. Sempat juga dia bertanya beberapa perkara sementelah dia melihat isteri saya bertudung dan dia juga seorang islam. Dia sangat gembira berjumpa kami. Saya lihat dia telah memberhentikan meter teksinya lebih awal sebelum tiba di hadapan rumah kami. Dia juga telah membantu saya mengeluarkan segala barang yang dibeli dari bonet teksinya. Sebagai penghargaan, saya mengucapkan "JAZAKALLAH". Dia terkejut. Dia bertanya adakah saya boleh berbahasa arab? Sudah tentu saya tidak dapat berbahasa arab cuma saya tahu beberapa perkataan arab. Dia kata, dia sebenarnya seorang guru bahasa arab di negaranya. Dia beredar dengan satu senyuman dan ucapan salam. kami membalas senyuman dan menjawab salamnya. Sungguh bahagia rasanya saat itu dapat menjalin ukhwah sesama saudara seakidah di negara yang majoritinya tidak beragama islam. 

Cukuplah tiga peristiwa itu menjadi hujah saya untuk kita tidak lagi memandang warna kulit dan bangsa sebagai kayu ukur untuk kita hormati. Hormatilah sesiapa saja mereka itu sebab mereka semua adalah manusia. Dan telebih harus kita saling hormati dan saling bantu membantu bilamana mereka adalah manusia yang satu akidah dengan kita. Yang sama-sama bersyahadah dengan kalimah

"Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH"

No comments:

Related Posts with Thumbnails