i k l a n

Friday, March 6, 2015

Peristiwa singkat dan sekejap di Klinik Desa itu membuatkan saya berfikir

Satu hari, saya dan isteri bawa "cahaya keikhlasan" ke klinik desa untuk pemeriksaan rutin. Itu adalah pertama kali ke klinik tersebut setelah mula menetap di Terengganu.

Dipendekkan cerita, semasa di dalam klinik. Isteri dihampiri oleh seorang perempuan bersama anak kecil. Dari perbualan singkat itu, diketahui bahawa dia merupakan warganegara luar. Asal Indonesia dan suaminya pula Myammar. Bercakap bahasa melayu juga agak pelat.

Dia banyak bertanya isteri tentang penjagaan anak. Maksud saya, dia tanya siapa yang jaga anak kami. siapa yang urus kemas-kemas rumah. Kebetulan memang waktu itu sayalah yang jaga anak dan uruskan rumah. Jadi dia tidak bertanya lanjut. Cuma dia nyatakan bahawa dia mahu cari kerja dan dia boleh tolong.

Tiba-tiba kami dihidangkan dengan tayangan drama pendek dari perempuan ini. Anaknya yang seusia anak kami (satu tahun lebih) kencing. Isu kencing ini terjadi sebab anaknya tidak memakai apa-apa lampin apatah lagi lampin pakai buang. Jadi kecohlah jururawat di klinik tersebut menyuruh perempuan tadi bersihkan anaknya dan tempat yang terkena air kencing. Selesai satu episod.

Episod kedua bersambung, selesai membersihkan anaknya dan tetap memakai pakaian yang sama. Dia menghampiri kami lagi dan cuba untuk berbual-bual lagi dengan isteri. Dan tiba-tiba sekali lagi anaknya kencing. Lantas ibu-ibu lain yang ada di dalam klinik desa tersebut mula merungut tentang cara dia membersihkan anaknya dan kesan air kencing tersebut. Mungkin disebabkan tertekan dengan keadaan tersebut, dia juga turut naik suara dan membebel tentang kesusahan dia. Sudahlah naik suara, dipukul pula anaknya itu. Ditarik dan diangkat dengan keadaan sebelah tangan sahaja. Saya tak mampu nak lihat apa yang dia lakukan seterusnya.

Episod ke tiga pula muncul bila jururawat pula meninggikan suara kepada perempuan tersebut. Alhamdulillah, tiba-tiba ada seorang ibu lain yang memberikan lampin pakai buang untuk digunakan oleh perempuan tersebut. Sebelum dia pulang, ada lagi seorang ibu lain yang prihatin menghulurkan duit.

Saya secara jujurnya sangat terkesan dengan peristiwa tersebut. Beberapa perkara yang muncul dalam kepala saya.

1) Sifat kemanusiaan dan perihal kebersihan
Sungguh saya sangat kasihankan perempuan tersebut. Walaupun dia warganegara luar, tapi dia juga merupakan manusia yang perlu dilayan selayaknya sebagai manusia. Sebagaimana kita mahu dilayan, sebegitu jugalah kita HARUS melayan orang lain. Peristiwa ini berlaku di Malaysia dan kita adalah warganegara ini, bagaimana pula bila kita berada di negara luar. Sukakah kita dilayan sebagai kelas bawahan. Sudah tentu tidak. Perihal kebersihan juga bukanlah isu besar. Memang ia najis TAPI kotoran itu boleh dibasuh. Yang masalah adalah kotoran yang ada di hati kita. Bagaimana mahu dibersihkan?

2) Sikap prihatin dan tolong menolong
Sungguh peristiwa ini memberi pengajaran terhadap saya. Saya terpaku seketika bilamana ada seorang ibu yang memberikan lampin pakai buang untuk perempuan tersebut. Sedangkan kami juga mempunyai beberapa set lampin tersebut bersama kami. Kenapa kami tidak beri di awal episod lagi. Sungguh kami telah terlepas peluang untuk membuat amal jariah itu. Sungguh mulia hati ibu itu yang terus memberi tanpa sepatah kata dan tanpa membuat muka prejudies. Sungguh mulia juga hati ibu seorang lagi yang mendidik anaknya untuk bersedekah dan membantu orang susah. Dihulurkan beberapa keping duit ringgit kepada anaknya untuk disampaikan kepada perempuan tersebut. Kami sekali lagi terpaku tanpa sempat bertindak walaupun telah ada niat di hati. Sekali lagi kami terlepas peluang untuk membuat amal jariah buat sekian kalinya.

3) Pengajaran dari peristiwa
Sungguh semasa peristiwa ini berlaku, kami dalam pertimbangan untuk mencari penjaga buat "cahaya keikhlasan". Saya juga sering berdoa pada Allah agar dapat jumpakan kami dengan insan yang dapat menjaga ":cahaya keikhlasan" seperti mana kami menjaganya. Tapi Allah telah menjawab doa saya dengan peristiwa ini. Maka tahulah saya bahawa tidak ada orang yang dapat menjaga "cahaya keikhlasan" seperti kami lakukan. Bayangkan, anaknya itu normal dan kesalahan adalah sebab kencing. Akibat tekanan dari sekeliling, dipukulnya anak itu. Bagaimana agaknya jika dia mahu menjaga "cahaya keikhlasan" kami yang mempunyai sedikit masalah gross motor ini.

Kesimpulannya
Peristiwa sekejap dan singkat itu cukup memberi kesan kepada pemikiran saya. Siapapun dia, dia adalah manusia. Lebih penting dari itu adalah dia beragama islam. Soal praktik atau tidak itu urusan dia dengan Allah. Selalulah bertindak cepat untuk membuat amal. Anak adalah amanah dari Allah untuk kita bukan untuk diswastakan kepada orang lain.

Peristiwa berlaku 2 bulan lalu dari tarikh entri ini ditulis.

No comments:

Related Posts with Thumbnails