i k l a n

Thursday, August 20, 2009

falsafah cinta...lilin cinta (copyright)

assalamualaikum wbt...
apa khabar kawan-kawan. hari ini hidup saya bermula agak lewat sebab semenjak 2,3 hari ini tidur saya terganggu. apa pun tetiba rasa nak kongsi satu entri yang menarik tentang "CINTA". entri ini saya ambil dari blog seorang akak. saya suka melawat blog dia. rasanya setiap hari saya tak pernah miss untuk melawat blog tu. kawan-kawan pun boleh ke bog dia THE PRECIOUS MOMENT.

di bawah nilah entri yang saya nak kongsi. harap dapat mengambil nilai-nilai yang baik darinya:



Hari ini, saya ingin menulis sesuatu tentang cinta. Sebenarnya saya bukan pakar dalam hal-hal yang berkaitan dengan cinta walaupun saya pernah jatuh cinta dan sehingga kini pun masih lagi bercinta. Saya cuma terkenang kembali tentang perbualan saya dengan kekasih saya suatu masa dahulu tentang cinta.


"Jika cinta boleh diberi percentage, berapa peratus agaknya cinta yang ada dalam hatimu?" Dia bertanya.


"Tentulah 100%. Jika cinta boleh diibaratkan seperti air di dalam gelas, maka gelas itu dipenuhi oleh air." Kata saya.


"Amboi, pandainya kamu berfalsafah. Daripada 100% cinta itu, bagaimana kamu membahagikannya kepada orang-orang yang kamu sayangi?" Dia bertanya lagi.


Saya terdiam mendengar soalan itu. Terasa di dalam hati bahawa kekasih saya itu ingin mengenakan saya atau menguji saya. Setelah lama membisu tanpa jawapan, dia akhirnya memberikan saya beberapa pilihan dan cara untuk membahagikan rasa cinta yang seratus peratus ada dalam hati saya.

* 70% mencintai diri sendiri dan 30% mencintai orang yang tersayang
* 30% mencintai diri sendiri dan 70% mencintai orang yang tersayang
* 50% mencintai diri sendiri dan 50% mencintai orang yang tersayang


"Kamu buat pilihan atau kamu ada cara lain untuk membahagikan cinta itu" Kata kekasih saya.


Serba salah saya dibuatnya. Andainya saya memilih yang pertama, nampak sangat saya ini seorang yang mementingkan diri sendiri. Tentu kekasih saya menyangka bahawa saya tidak ragu-ragu akan menyingkirkannya demi kepentingan diri sendiri.


Andainya saya memilih yang kedua iaitu mencintai orang lain lebih daripada mencintai diri sendiri. Bunyinya macam bagus, tidak mementingkan diri sendiri dan selalu mengutamakan orang lain. Tapi itu juga bermakna saya tidak berlaku adil kepada diri sendiri, tidak sayang kepada diri sendiri. Sanggupkah saya membiarkan diri saya musnah demi kepentingan orang lain?


Mungkin pilihan ketiga itu yang terbaik, adil. Cinta dibahagi sama rata untuk diri sendiri dan untuk orang lain.


"Saya pilih yang ketiga kerana ianya adil dan saksama." Jawab saya sambil tersenyum.


"Kamu yakin ia adil?"


Saya mengangguk.


"Pembahagian cinta seperti itu nampak adil tapi tidak ideal. Kamu tidak memaksimakan curahan cinta itu, baik kepada diri sendiri maupun kepada orang yang tersayang" katanya.


"Lalu bagaimana caranya untuk membahagikan cinta?" tanya saya dengan nada yang agak keras. Terasa darah sudah naik sampai ke kepala.


"Marah?" Dia bertanya sambil matanya tidak lepas dari memerhatikan wajah saya.


Saya menggeleng kepala. Namun dalam hati terasa sedikit jengkil sebab ia meremehkan pilihan saya. Mungkin itu cuma sangkaan saya belaka. Sesungguhnya kekasih saya tidak begitu. Dia baik orangnya.


"Tutup mata kamu" Dia memberi arahan kepada saya.


"Bayangkan kamu sedang berada di dalam sebuah bilik yang gelap tanpa ada cahaya sedikit pun. Di tangan kamu ada sebatang lilin dan sekotak mancis. Lalu kamu nyalakan lilin itu. Rupanya di dalam bilik itu, kamu tidak bersendirian. Ada seseorang yang lain. Dia juga seperti kamu, mempunyai sebatang lilin di tangan. Adakah kamu akan membahagikan cahaya lilin itu di antara kamu berdua?"


"Sudah tentu" Jawab saya.


"Kenapa kamu sanggup melakukan demikian?" Tanya dia.


"Sebab saya cintakan dia"


Dia tertawa mendengar jawapan saya sedangkan hati saya dilanda pelbagai persoalan kenapa dia ketawa. Apa yang lucu dengan jawapan saya?


"Sayangku, kamu sanggup berbuat begitu kerana kamu tahu bahawa sekalipun kamu membahagikan cahaya lilin itu kepada orang lain, cahaya lilin yang berada di tanganmu itu tidak akan berkurang sedikit pun. Bahkan bilik yang gelap itu akan menjadi semakin cerah dengan pembahagian cahaya lilin di antara kamu berdua."


Terlopong mulut saya mendengar penerangan dari dia. Pandai juga rupanya dia bermain dengan kata-kata tapi itu bukan kata-kata yang menggoda. Itu cuma falsafah tentang hukum cinta menurut pandangan kekasih saya.


"Seperti cahaya lilin, cinta juga begitu. Rasa cinta tidak akan berkurang sedikit pun walaupun kamu terpaksa membahagikannya kepada orang-orang yang kamu sayang. Bahkan rasa cinta yang bersemi itu akan menjadi semakin marak jika masing-masing di antara kita sanggup menyalakan lilin-lilin cinta itu dan membahagikannya kepada yang lain. Dunia kita akan diterangi oleh cahaya cinta." Dia melanjutkan penerangannya.


"Jadi kesimpulannya?" Tanya saya


"Kesimpulannya wahai sayangku, bahagikan cintamu 100% - 100%, seratus peratus kepada diri kamu dan seratus peratus kepada orang yang kamu sayang." Katanya.


"Bagaimana harus saya lakukan jika orang yang saya sayangi terdiri dari ramai seperti kekasih, ayah, ibu, abang, kakak, adik, teman-teman dan saudara mara?" Tanya saya.


"Bahagikan 100% untuk semua orang kerana cinta itu tidak akan berkurang" Katanya sambil tersenyum memandang wajah saya.


"Jadi sekarang, bagaimana cinta kamu kepada saya?" Tanya dia tiba-tiba.


Soalan itu membuatkan wajah saya merona merah. Malu menyingkap naik ke muka.


"Haruskah saya jawab soalan yang kamu sendiri sudah ada jawapannya?" Tanya saya.


Dia cuma tersenyum. Dan secebis senyuman itu, saya simpan dalam memori kenangan dan kenangan itu tidak mungkin saya lupakan untuk selamanya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails