bukan aku yang bekas penagih tapi aku
berkesempatan berusrah dengan bekas-bekas penagih di rumah perlindungan di
sekitar Batu Pahat. Aktiviti yang melibatkan solat maghrib berjemaah diikuti
dengan pengisian jiwa oleh pimpinan ABIM Batu Pahat, solat isyak berjemaah dan
sedikit jamuan.
Secara jujurnya aku tak pernah berdepan
secara langsung dengan golongan penagih. Samada di tepi jalan, hospital,
penjara atau di mana-mana saja. Dan jika aku bertembung secara langsung dengan
golongan ini pun, sudah tentu aku akan ketakutan sebab dalam kepala aku telah
disumbat segala benda negatif tentang mereka. Dalam perjalanan ke sana pun aku
masih curiga tentang mereka...
Zaman sekolah menengah dulu aku pernah
terpilih menyertai satu program bawah Jabatan Pelajaran Negeri yang dinamakan
“Skim Lencana Anti-Dadah”. Banyak jugaklah belajar tentang dadah bagai tapi aku
tetap tak pernah didedahkan keadaan mereka secara langsung. Biasanya hanya
tengok melalui gambaran drama di televisyen. Alhamdulillah disekeliling rumah
dulu pun memang takde golongan ini. Biasanya hanya dengar kisah-kisah anak
orang itu ini dari sembang orang tua-tua. Tapi aku tetap tak pernah bertembung
dengan mereka. Mungkin mereka ada disekitar aku tapi aku yang tak tahu mereka
ini adalah penagih dadah.
Sesampainya aku di sana, aku lihat mereka
ni tiada beza dengan kita semua. Tapi itu semua dari segi fizikal. Secara
dalamannya kita tidak tahu. Alhamdulillah kehadiran kami di sana di sambut baik
oleh mereka dan mereka sangat-sangat mengalu-alukan kehadiran kami lagi di
sana. InsyaAllah kami tidak menjanjikan sesuatu yang besar tapi kami akan cuba
usahakan sesuatu supaya dapat memberi pengisian kepada mereka semua.
Aku sebenarnya cukup bertuah hari itu,
semasa makan di akhir majlis itu. Sempat aku menemuramah seorang penagih yang
berumur lingkungan 30an. Aku gelarkan sebagai Ahmad. Dari segi fizikal, Ahmad
ni lagi sihat dari aku...kih3. Memang tak sangka jugak yang dia telah terjebak
dengan benda tu. Ahmad terjebak sejak dari sekolah menengah. Perasaan ingin
mencuba itu cukup tinggi sehinggakan telah mencuba pelbagai jenis benda
ketagihan termasuklah dari merokok, hidu gam, ganja, pil, heroin dll.
Aku tidak berminat untuk tahu bagaimana
dia bermula tapi aku lebih fokus kepada apa yang dia rasa dari ketagihan tersebut.
Antara soalan yang ditanya...
Kenapa nak berhenti menagih?
Menagih
ni sebenarnya menyakitkan tubuh badan. Rasa seronok itu sekejap saja, tapi
selepas khayalan itu hilang tubuh akan mula sakit-sakit. Dan mulalah untuk
mencari barang tu balik sebab nak hilangkan sakit.
Rasa sakit tu macamana?
Rasanya
macam mencucuk-cucuk diseluruh badan. Tak boleh buat kerja, sakit otot dll.
Pernah dulu cuba berhenti secara mengejut, terus kena masuk hospital sebab
badan tak dapat tahan. Atas nasihat doktor supaya berhenti secara berperingkat.
Kenapa penagih ni buat kerja mencuri?
Sebab
kerja mencuri adalah kerja yang paling mudah untuk dapat duit dalam masa
singkat ditambah dengan dorongan untuk khayal dan kesakitan badan yang perlu
dihilangkan segera.
Adakah penagih akan tetap mencuri walaupun
telah mempunyai pekerjaan?
Walaupun
mempunyai kerja (gaji) tapi penagih tetap mencuri sebab kerja biasa, gajinya
lambat. Dengan mencuri mereka akan dapat duit segera untuk membeli bekalan
baru. selain itu, hasil mencuri mereka memperoleh hasil yang lumayan. Pernah
dapat RM700-RM800 sehari dari hasil mencuri.
Adakah methadone dapat membantu?
Methadone dapat membantu bila rasa teringin untuk ambil benda tu balik. Jadi ia dapat
mencegah diri dari mengambil barang yang lagi high. Bagi yang takde niat nak
berhenti, biasanya dos yang diambil semakin meningkat. Tapi seperti dirinya
yang bertekad untuk berhenti, dos methadon yang di ambil semakin lama semakin
berkurang.
*methadone adalah dadah yang dibenarkan
oleh kerajaan kerana kesannya tidak memberi kesan gejala negatif kepada
tindakan penagih. Methadone ini juga dibekalkan secara percuma dan berkala
kepada penagih yang berdaftar dengan kelab methadone (boleh juga dibeli di
farmasi terpilih dengan harga rm10 untuk 10ml...eh rasa cam wat iklan lak)
Adakah semua perkara buruk seperti merokok
telah ditinggalkan?
Alhamdulillah
sekarang ini dah semakin kurang. Memang tak dapat nak tinggalkan secara
mengejut kerana ia akan memberi kesan yang teruk pada tubuh badan dan
kemungkinan akan mendorong diri untuk mengambil barang yang high semula.
Diakhir pertemuan itu, Ahmad memberitahu
bahawa sokongan dari keluarga amat bererti untuk golongan seperti mereka.
Dengan sokongan dari keluarga, pihak AADK, masyarakat awam sangat memberi
motivasi kepada mereka. Ahmad sebenarnya telah berada di tahap benci terhadap
dadah. Dua kali terlantar di hospital kerana cubaan berhenti secara mengejut.
Pengalaman itu jugak menyedarkan dia tentang peluang yang Allah berikan untuk
kembali ke jalan yang benar.
Pesanan penaja:
Kita ini manusia yang tak pernah lekang
dari melakukan kesalahan. Cuma kesalahan yang mereka lakukan adalah kesalahan
yang agak besar kesannya kerana ia melibatkan orang lain. Namun setiap
kesalahan dan kesilapan itu adalah ujian untuk kita semua. Samada untuk kita
sebagai masyarakat disekeliling mereka atau untuk diri mereka sendiri yang
terjebak dengan benda sebegitu. InsyaAllah..kita sama-sama cuba dekatkan diri
kepada Allah swt.
Dan
di antara manusia ada yang menyembah Allah dipinggir-pinggir (dalam keraguan).
Jika dia ditimpa kebajikan tenteramlah (hatinya), tetapi jika dia ditimpa ujian
(malapetaka) dia berbalik menjadi kafir. Dia telah rugi di dunia dan di
akhirat. Itulah kerugian yang nyata (Al-hajj | 11)
Manusia
dijadikan (bersifat) terburu nafsu (hendak cepat), nanti akan kuperlihatkan
ayat-ayat (seksaanKu) kepadamu, sebab itu janganlah kamu minta disegerakan
(Al-anbiyaa’ | 37)
Sesungguhnya Allah telah menjelaskan
tentang sifat manusia yang selalu nak cepat. Malah hari ini semuanya nak pantas
tanpa memikirkan jalan yang dipilih itu betul atau salah. Ini termasuklah dalam
hal keseronokan dunia. Ramai yang berzina dulu sebelum kawen. Kononnya nak
merasa dulu nikmat hubungan kelamin. Nauzubillah. Tidak ketinggalan juga
tentang isu ketagihan dadah. Mereka terlalu mengejar keseronokkan yang hanya
2,3 jam itu saja. Malah yang bekerja pulak terjebak dengan gejala rasuah akibat
mengejar kesenangan dan kekayaan yang cepat. Sedangkan memang telah jelas
sebagai umat islam bahawa dunia ini hanya sementara. Kehidupan sebenar adalah
di akhirat sana yakni selepas kita meninggalkan dunia. Dan banyak ayat-ayat
Allah yang menyatakan tentang nikmat dunia yang sementara dan nikmat di alam
akhirat yang berpanjangan yang tiada tolok bandingnya di dunia ini.
Tapi adakah kita sanggup menghadapi
kesakitan di akhirat akibat mengejar keseronokan sementara di dunia?
1 comment:
Salam. Mohon izin untuk kongsikan cerita nie pada orang lain.
Terima kasih.
Post a Comment