Alhamdulillah minggu lepas (masa entri ini
ditulis) pelajar telah mula mendapat markah masing-masing. Mungkin akan ada
yang terkejut atau ada yang tak sangka atau ada juga yang tak puas hati dengan
markah masing-masing. Namun itulah yang diperolehi sewajar dengan usaha yang
diberikan.
Menyoroti kembali proses mengajar yang
lepas, banyak komen dari pelajar yang tidak berpuas hati dengan cara pengajaran
aku. Didapati hampir 60% pelajar yang agak tidak berpuas hati dan selebihnya
berupa komen yang agak natural dan ada yang positif dengan style pengajaran
yang aku lakukan.
Rata-rata komen yang tak berpuas hati
disebabkan cara pengajaran yang agak terbuka dan tiada betul serta salah. Ada
yang yang dengan begitu tulus menulis hanya datang kuliah untuk tanda kedatangan
sahaja. Ada yang membandingkan dengan kursus lain. Ada juga sebahagian yang
tidak berpuas hati dengan pengajaran dalam lab dan sebahagian lagi pengajaran
kuliah.
Bagi komen yang agak natural dan positif
pula, lebih kepada mengucapkan selamat maju jaya, suruh cepat berumahtangga dan
mengucapkan terima kasih atas ilmu yang diajarkan. Ada yang begitu positif
dengan cara pengajaran yang agak terbuka ini, ada yang memahami yang mereka
diajar untuk belajar berdikari bukan dengan cara disuap lagi.
Berbagai-bagai komen yang diperolehi. Aku
terimanya dengan tulus. Aku ada prinsip tersendiri dengan gaya dan cara
pengajaran sebegitu. Tugas aku adalah mendidik mereka menjadi insan yang dapat
berdiri atas kaki sendiri bila berada di alam kerjaya sebenar. Aku mengajar
mereka menghadapi realiti sebenar di luar sana. Aku mengajar mereka bukan untuk
lulus atau hanya untuk mendapat “A” dalam kursus tersebut.
Rumusan yang aku perolehi adalah SIKAP. Sikap
inilah yang membawa kepada AKIBAT. Inilah yang berlaku kepada pelajar tersebut.
bagaimana pernyataan sikapnya terhadap sesuatu itu telah diterjemahkan melalui
hasil keputusan untuk kursus tersebut. Alhamdulillah aku dapat mengingati
hampir semua pelajar dalam kursus tersebut terutama yang agak nakal, bijak, membijakkan
diri, suka bertanya dll.
Aku mengajar untuk dua seksyen. Dari komen
yang diperolehi didapati pelajar dalam satu seksyen ni agak positif dalam komen
tersebut dan bila diamati keputusan keseluruhan yang diperolehi oleh pelajar
seksyen tersebut lebih cemerlang berbanding seksyen yang lagi satu. Cemerlang itu
dari segi jumlah pelajar yang mendapat “A” dan markah yang terendah direkodkan.
Jadi kita boleh lihat bagaimana pernyataan
SIKAP kita terhadap sesuatu akan diterjemahkan kepada AKIBAT yang akan kita
perolehi. Ia selaras dengan hukum tarikan (law of attraction). Bagaimana kita
fikir, kita cakap dan kita buat akan menghasilkan keputusan yang selaras dengan
fikiran, percakapan dan perbuatan kita itu juga. Dalam Al-quran Allah
menyatakan “Allah bersama sangkaan hamba-hambanya..” jadi ayuh kita tukar
prasangka yang ada dalam diri kita, tukar cara fikir, cara cakap dan cara kita
bertindak.
buat para anak didik ku, sesungguhnya aku meredhai segala ilmu yang telah kucurahkan.
semoga ALLAH merahmati kalian
No comments:
Post a Comment