i k l a n

Thursday, August 9, 2012

laporan terkini


inilah sebab kenapa aku dah lama tak update blog ni. alhamdulillah selesai juga program ni. seterusnya misi memberi sumbangan sumbangan sekampit beras dan barang keperluan dapur untuk orang miskin sekitar ayer hitam dan batu pahat. nantikan laporan seterusnya...

LAPORAN PROGRAM IHYA’ RAMADHAN 1433H

Ihya’ Ramadhan 1433H peringkat Batu Pahat telah diadakan pada 4 dan 5 ogos 2012 bersamaan 15 dan 16 ramadhan 1433H bertempat di surau Taman Sri Banang, Minyak Beku, Batu Pahat. Pengisian utama program ini adalah kursus asas solat, bengkel khasiat solat dari perspektif sains sukan, sumbangan seorang satu quran tafsir, iftar bersama anak yatim dan asnaf, penyampaian sumbangan beras dan barang dapur serta majlis pelancaran kempen seorang sekampit beras untuk daerah Batu Pahat. Tema program ini “Belia solat, Belia penyelamat Ummat”. Peserta program pula terdiri dari remaja lelaki berumur 13 hingga 17 tahun yang berstatus anak yatim dan dari keluarga yang kurang berkemampuan.

Program ini bermula jam 11 pagi dengan sesi pengenalan program oleh Sdr. Mohd Muhsein Taib selaku pengarah program. Kemudian kursus asas solat telah diisi oleh fasilitator dari Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ) yang diketuai oleh Sdr. Farhan bin Ashari. Kursus ini memerlukan semua peserta untuk melakukan amali solat dan dibaiki kaedah pergerakan dan bacaan dalam solat. Selepas solat zuhur berjemaah, setiap peserta telah diberikan senaskah al-quran dan penyampaian dibuat oleh Sdr. Azamudin Ahmat Miskam selaku Timbalan Yang Di-Pertua ABIM cawangan Batu Pahat untuk digunakan dalam sesi tadarus al-quran sepanjang program berlangsung. Dalam sesi tadarus, para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan tertentu. Peserta didedahkan dengan amalan tadarus yang sangat digalakkan dalam bulan ramadhan dan kaedah dalam memahami isi kandungan al-quran melalui membaca terjemahan ayat yang telah dibaca.

praktis solat

Pada sebelah petang, program diteruskan dengan sesi bengkel “khasiat solat dari perspektif sains sukan” oleh Sdr. Azamudin Ahmat Miskam yang merupakan pelajar jurusan sains sukan UiTM. Sesi ini telah mendedahkan peserta kepada kehebatan solat yang telah merangkumi semua aspek yang terkandung dalam aspek bersukan. Selain itu hasil kajian beberapa pensyarah dari universiti tempatan juga turut didedahkan tentang khasiat dalam setiap pergerakan solat kepada kesihatan tubuh badan. Penerapan tentang aspek khasiat solat ini merupakan suatu hikmah dan motivasi  yang diharapkan dapat meningkatkan semangat para peserta untuk menjaga solat masing-masing.

bengkel khasiat solat dari pandangan sains sukan oleh Sdr. Azamudin Ahmat Miskam

Sesi iftar bersama anak yatim dan asnaf pula turut melibatkan wakil Taman Sri Banang*, anak-anak penduduk taman, beberapa orang penyumbang, wartawan akhbar Sinar Harian dan penggerak program. Pada sebelah malam, solat sunat terawih dan tadarus al-quran menjadi pengisian utama. Sebelum tidur peserta telah diberikan penerangan tentang adab tidur. Peserta dibiarkan tidur awal untuk membolehkan mereka bangun awal bagi aktiviti qiamulail dan bersahur. Peserta dikejutkan seawal jam 4 pagi untuk qiamulail, bersahur, solat subuh dan tadarus. Sesi seterusnya dikendalikan oleh pengarah program yang memberi pengisian secara santai berkenaan perspektif yang perlu ditukar oleh para peserta dari minda menerima kepada minda penderma. Sesi ini telah menerapkan peserta kepada elemen mahu kaya, berjaya dan bahagia. Seterusnya sesi diteruskan dengan senaman pagi dan gotong royong membersihkan surau dan persekitaran serta solat sunat dhuha yang diketuai oleh Sdr Zaidi.

*Taman Sri Banang merupakan penempatan baru untuk orang asal Kg. Segenting Batu Pahat. Pekerjaan utama penduduk taman ini adalah sebagai nelayan
persiapan berbuka puasa
tadarus al-quran

Pengisian seterusnya diteruskan dengan slot Remaja Unggul yang disampaikan oleh Ustaz Ab Razak Aripin. Slot ini mengandungi pengisian membetulkan kaedah pemikiran dan memberi kesedaran tentang tujuan utama kehidupan di dunia ini. Slot ini menjadi lebih menarik kerana ia merangkumi aspek mental dan fizikal dalam matlamat menjadi remaja unggul. Kemuncak slot ini diisi dengan memasukkan elemen positif ke dalam minda bawah sedar para peserta. Secara tidak langsung slot ini menjadi slot rumusan untuk keseluruhan program Ihya’ Ramadhan untuk kali ini.

slot remaja unggul oleh Ustaz Ab Razak Aripin
peserta sdg khusyuk menghayati isi ceramah

Program diteruskan dengan majlis penutupan program Ihya’ Ramadhan 1433H dan majlis pelancaran kempen seorang sekampit beras peringkat Batu Pahat oleh Ustaz Haji Ab Razak Aripin selaku Yang Di-Pertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) negeri Johor. Simbolik pelancaran dengan penyampaian sekampit beras dan barang dapur kepada wakil peserta program. Program berakhir dengan selawat pada jam 11.30 pagi.

simbolik pelancaran kempen seorang sekampit beras peringkat batu pahat

Untuk rekod, penyampaian sumbangan beras dan barang dapur telah bermula pada 2 ogos dengan penyampaian kepada Pn.Azizah Jalil (Guru Besar Tadika Iltizam Gemilang) sebagai wakil yang akan menyampaikan sumbangan tersebut kepada peserta bagi kawasan Air Hitam. Kemudian pada 3 ogos penyampaian sumbangan kepada Uztaz Nur Azam (Pengetua SMA AtTarbiyah Al Islamiah) untuk disampai kepada peserta sekolah tersebut yang terlibat dalam program ini. Manakala untuk peserta bagi kawasan kampung sekitar bandar Batu Pahat disampaikan diakhir program.

penyampaian kepada pengetua SMA At Tarbiah Al Islamiah, Batu Pahat

Sumbangan beras dan barang dapur adalah melalui tabung kempen sekampit beras ABIM negeri Johor
Sumbangan iftar dan seorang satu quran tafsir melibatkan sumbangan dari individu perseorangan melalui kempen untuk program ini berlangsung.
Data peserta program kali ini dikumpul untuk dipanggil dalam program kami seterusnya.

barang sumbangan yang dah siap pack dan yang belum siap

Program ini dianjurkan oleh ABIM cawangan Batu Pahat dan telah melibatkan kerjasama penuh dari ABIM negeri Johor, Persatuan Wanita Insani Batu Pahat (BP CARE), Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ), Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat dan JKKK Taman Sri Banang.


JazakAllahu khairan kathira kepada semua penyumbang dan pihak yang telah bekerjasama dalam menjayakan program IHYA’ RAMADHAN 1433H peringkat Batu Pahat.  


Disediakan oleh,
Mohd Muhsein Taib
Pengarah Program
Ihya’ Ramadhan 1433H

sang pengarah

p/s: laporan ni copy paste dari notes kat fb

No comments:

Related Posts with Thumbnails