assalamualaikum wbt...
ni kat sini aku nak share ngn kawan 4 tazkirah utk kita semua. 4 tajuk tazkirah ini adalah seperti berikut;
-
Masyarakat tidak jujur punca penyakit sosial
-
Pekerja curi tulang hilang keberkatan rezeki
-
Persediaan rohani tingkat keyakinan pelajar hadapi peperiksaan
-
Cendekiawan Muslim tak peka krisis makanan dunia
so kawan2...artikel nyer ada di bawah ni. so selamat membaca n fikir2 kn lah...
Masyarakat tidak jujur punca penyakit sosial
DARIPADA Huzaifah, katanya: "Diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kami dua hadis; salah satu daripadanya sudah saya lihat kenyataannya; dan sekarang saya sedang menunggu kenyataan hadis kedua.
"Hadis pertama, bahawa amanah itu turun lalu masuk ke lubuk hati orang, kemudian turun al-Quran lalu menjadi pedomannya, demikian pula sunah Rasulullah SAW.
"Hadis kedua, mengenai pencabutan amanah. Kata Rasulullah SAW: Seseorang tidur sekejap lalu dicabut amanah daripada hatinya dan tinggallah bekasnya seperti titik yang kecil; kemudian ia tidur pula lalu dicabut lagi sisa amanah itu dan hanya tinggal seperti bengkak kecil di telapak tangan yang timbul selepas mengerjakan sesuatu dengan memakai kapak atau sebagai bengkak di kaki kerana memijak bara, isinya hanya sedikit cairan.
" Pada masa itu kelak hampir saja tidak ada lagi amanah dalam masyarakat sehingga dikatakan: Oh, di sana ada orang yang amanah; kata orang kepadanya; alangkah sabarnya, alangkah baiknya, alangkah cerdiknya; tetapi sebenarnya batin orang itu kosong keimanan.
"Kata Huzaifah: Pada masa silam, zaman kejujuran itu sudahku alami, sehingga saya biasa berniaga dengan siapa pun; jika dengan orang Muslim ia jujur kerana agamanya, jika dengan orang Nasrani atau Yahudi maka kejujuran itu ada di tangan atasannya.
" Adapun zaman sekarang, aku tidak mahu lagi berniaga kecuali dengan si Anu dan si Anu (kerana amanah)." (Hadis riwayat Muslim)
Dunia hari ini sering digemparkan dengan berita mengenai pecah amanah di sana sini. Bapa merogol anak, bayi baru lahir dibuang, warga tua diragut, kanak-kanak didera dan pelbagai lagi kejadian yang menyentuh hati serta membangkitkan kemarahan banyak pihak.
Semuanya berpunca daripada hilangnya sifat amanah dari jiwa manusia. Sesungguhnya pada akhir zaman ini amat sukar mencari orang yang amanah sedangkan apa juga perkara dan tindakan diambil perlukan sifat amanah.
Seorang bapa yang khianat tidak akan menjaga anak yang menjadi amanah Allah kepadanya bahkan diperkosa anaknya sendiri atau dia berzina dengan wanita lain. Begitu juga dengan kerajaan yang dipimpin oleh penguasa yang tidak amanah sudah pasti suatu hari nanti umat akan hancur.
Fakir yang sombong juga tidak akan sudi menerima bantuan dan perhatian orang lain sedangkan ia sangat memerlukannya.
Kesudahannya hidupnya tidak akan berubah sampai bila-bila hinggakan kefakiran itu membawanya kepada kekufuran. Hakikatnya janganlah kita mengkhianati amanah sedangkan kita mengetahuinya. Balasannya di hari akhirat kelak amat dahsyat menunggu kita.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Pekerja curi tulang hilang keberkatan rezeki
Oleh Khairunneezam Mohd Noor
agamabh@bharian.com.my
Kakitangan berdedikasi tak boleh ambil ringan tugas, tanggungjawab diamanah majikan
PERKATAAN amanah berasal daripada bahasa Arab yang dapat ditakrifkan sebagai setia, kepercayaan dan lurus. Namun, dalam konteks umum, amanah difahami sebagai kepercayaan yang diletakkan kepada pihak tertentu untuk memelihara atau menunaikan sesuatu perkara.
Sifat amanah dikatakan sebagai beban yang tidak terpikul dan ditolak makhluk Allah lain, namun manusia sanggup untuk memikulnya berdasarkan firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara yang tidak patut dikerjakan." (Surah al-Ahzaab, ayat 72)
Sifat amanah sangat berkait rapat dengan keimanan seseorang kerana orang beriman adalah yang bersifat amanah dan menerima segala kewajipan dipertanggungjawabkan kepadanya dengan jujur.
Amanah yang dijunjung oleh manusia meliputi pertamanya, amanah kepada Allah termasuk menunaikan segala kewajipan yang dituntut kepada-Nya, melaksanakan amal ibadah dengan ikhlas dan berterusan serta menjaga keimanan supaya sentiasa subur.
Konteks kedua adalah amanah sesama manusia meliputi perkara seperti memberikan hak kepada yang berhak, menepati janji, bersikap adil dan saksama, bercakap benar, serta melakukan ihsan kepada masyarakat sekeliling.
Sifat amanah antara empat sifat yang ada pada Rasul selain siddiq (benar), tabligh (menyampaikan) dan fatonah (bijaksana). Sifat amanah Nabi Muhammad SAW adalah model nilai murni yang sempurna dan unggul, harus diterapkan serta diteladani dalam kehidupan.
Contohnya, dalam urusan pekerjaan Baginda SAW mengendalikan perniagaan dengan amanah, tanpa mengamalkan penipuan serta bertanggungjawab semasa membantu perniagaan Saidatina Khadijah Khuwailid (yang kemudian menjadi isteri Baginda).
Inilah resipi kejayaan unggul dalam kaedah bekerja yang bukan saja menunjukkan budi pekerti mulia Rasulullah SAW, bahkan berhasil memberikan keuntungan berlipat kali ganda kepada perniagaan Saidatina Khadijah.
Jelasnya, sifat amanah Rasulullah SAW terserlah sebagai salah satu nilai murni dalam Islam yang menjadi tunjang kejayaan dan kesempurnaan seseorang ketika bekerja. Sebagai pekerja, seseorang itu perlulah memenuhi dan mencapai matlamat ditetapkan oleh organisasi atau majikannya.
Umumnya masa, tenaga, kepakaran dan idea adalah antara elemen disumbangkan pekerja kepada organisasi. Begitupun, setiap sumbangan diberikan atau kerja yang dilaksanakan itu perlulah turut didasari nilai keperibadian murni yang digariskan Islam termasuklah amanah.
Dalam membicarakan mengenai sifat amanah ketika bekerja, tidak dapat tidak seseorang pekerja wajib memenuhi kedua-dua amanah kepada Allah dan amanah sesama manusia. Keadaan ini jelas diisyaratkan melalui firman Allah yang bermaksud:
"Wahai orang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Anfal, ayat 27)
Sebagai hamba Allah yang beriman, walau sesibuk mana sekalipun kita bekerja, hak terhadap Allah perlu dilunaskan, apatah lagi jika membabitkan soal amal ibadah, keislaman dan keimanan. Islam memberikan keringanan dalam hal tertentu bagi umatnya bekerja untuk memajukan diri.
Jika seseorang melaksanakan tugas di luar daerah, dia dibolehkan untuk menjamak atau mengqasarkan solat fardunya. Ini keringanan istimewa diberikan kepada umat Islam supaya dapat terus tawaduk melaksanakan amanah beribadah dan melunaskan tanggungjawab pekerjaannya.
Namun, bagi segolongan daripada kita yang tidak mempunyai sifat amanah kepada Allah, jika diberikan keringanan sebanyak mana pun, pasti akan sekadar 'mengambil ringan' hal ibadah kononnya terlalu fokus terhadap kerja.
Amanah sesama manusia ketika bekerja pula meliputi konsep yang luas. Jika diamati Dasar Penerapan Nilai Islam (DPNI) yang diperkenalkan kerajaan sejak 1985, amanah digariskan sebagai salah satu nilai murni daripada perspektif Islam seperti bersih, cekap, ikhlas, dedikasi dan bertanggungjawab.
Amanah dalam bekerja meliputi skop berikut:
l Menyedari hakikat bahawa tugas adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
l Mempunyai pengetahuan dan kemahiran diperlukan bagi menjalankan tugas dipertanggungjawabkan.
l Menghindarkan dengan rela hati kepentingan diri daripada mengatasi kepentingan tugas.
l Menentukan tiada penyelewengan dalam tugas sama ada dari segi masa, kuasa, sumber wang dan peralatan serta tenaga kerja.
Kita selalu dimaklumkan di media cetak dan media massa akan laporan kes pecah amanah, penyalahgunaan wang organisasi, penindasan pekerja bawahan dan sebagainya yang dilakukan oleh sebilangan pekerja atau majikan dalam pelbagai sektor pekerjaan di negara kita.
Itu tidak termasuk perbuatan tidak amanah lain seperti curi tulang dengan tidur atau keluar minum sesuka hati dalam waktu bekerja, mencuri masa dengan berborak kosong, melayari bahan tidak berkaitan dengan kerja melalui internet dan membuat kerja luar ketika sedang bekerja.
Ini adalah amalan buruk ketika bekerja yang boleh mencacatkan kesempurnaan dan keberkatan bekerja.
Cuba fikirkan, apakah adil jika kita menerima upah atau gaji, tetapi kita tidak melaksanakan kerja dengan beretika, amanah atau sebaik-baiknya? Apakah berkat dan halal wang gaji yang kita peroleh untuk digunakan bagi menyara kehidupan anak dan isteri?
Sesungguhnya, pekerja yang amanah dan meletakkan syariat Islam sebagai pegangan semasa bekerja akan sentiasa dilindungi Allah.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Empat perkara jika kamu memilikinya kamu tidak akan ditimpa (balasan) terhadap apa yang kamu tidak buat di dunia: jaga amanah, bercakap benar, berakhlak baik dan mengawal pemakanan (halal dan haram)."
Manakala pekerja yang tidak berhati-hati dalam menjaga amanah adalah tergolong dalam golongan orang munafik seperti hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ada tiga tanda munafik, apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia mungkiri dan apabila diberi amanah ia khianati." (Muttafaqun 'Alaih).
Persediaan rohani tingkat keyakinan pelajar hadapi peperiksaan
Oleh Dr Aminudin Mansor
UNSUR kerohanian memainkan peranan penting ke arah pencapaian akademik yang cemerlang. Pengukuhan dalaman itu amat berkesan disisip dengan teknik dan strategi pembacaan, mengambil nota serta perbincangan dalam kumpulan.
Semua itu akan menjadi tonggak utama untuk mencapai kejayaan terutama menjelang peperiksaan. Strategi berkesan dan menggunakan kemudahan bantuan pembelajaran seperti perpustakaan turut membantu dalam mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan.
Ibu bapa mesti memainkan peranan penting memberi semangat dan motivasi kepada anak yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
Selain persiapan fizikal dan mental, anak juga dinasihat mengukuhkan persiapan rohani termasuk sentiasa mengingati Allah dengan tidak meninggalkan sembahyang, membaca al-Quran, berpuasa dan berzikir.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila Allah menyenangi hamba maka dia diuji supaya Allah mendengar permohonannya (kerendahan dirinya)." (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Amalan berdoa setiap kali selepas bersembahyang adalah amalan yang baik. Justeru, digalakkan selain berusaha dengan memperbanyakkan ulang kaji, pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan bertawakal serta memohon pertolongan Allah.
Bagaimanapun, kata-kata 'usaha tangga kejayaan' harus dijadikan panduan kepada pelajar kerana tanpa mengulang kaji pelajaran, bagaimana pelajar akan dapat menjawab soalan ketika peperiksaan nanti.
Ibu bapa juga mesti mendoakan kejayaan anak. Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tiga doa yang mustajab, tanpa syak lagi; doa orang dizalimi, doa orang musafir dan doa ibu bapa kepada anaknya." (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
Sesungguhnya, Imam Al-Ghazali menjelaskan, ada tiga perkara yang apabila diberikan kepada pemuda, sesungguhnya ia sudah memperoleh kebaikan di dunia dan akhirat iaitu hati yang sentiasa bersyukur, lidahnya sentiasa berzikir dan dirinya sentiasa bersabar menghadapi ujian.
Persiapan saat akhir juga tidak digalakkan dan ibu bapa seharusnya mengawasi aktiviti anak supaya tidak terlepas waktu belajar. Pada masa sama, ibu bapa perlu memberi perhatian supaya anak mempunyai waktu tidur yang cukup sebagai persiapan fizikal menghadapi peperiksaan.
Dalam menghadapi peperiksaan ibu bapa boleh mendidik anak-anak supaya yakin dan percaya dengan kebolehan diri sendiri, menanam keazaman yang kuat, berani menempuh ujian dan peperiksaan serta ikhlas dalam amal.
Semuanya itu akan membina minda dan peribadi Muslim yang unggul ke arah kejayaan. Selain itu, ada beberapa rahsia ke arah kecemerlangan antaranya yakin pertolongan Allah, berfikiran positif, bercita-cita tinggi serta bersiap sedia menghadapi segala rintangan dan halangan.
Daripada Sufyan bin Abdullah al-Thaqofi, beliau berkata: Aku berkata: "Wahai Rasulullah! Katakan kepadaku suatu kata-kata yang tak perlu lagi aku bertanya kepada sesiapa mengenainya selepas engkau. Baginda bersabda: Katakanlah, aku beriman dengan Allah, kemudian istiqamah (tetap teguh di atas jalan yang betul)." (Hadis riwayat Muslim dan Ahmad)
Emosi anak juga perlu diberi perhatian kerana ia bakal membentuk kekuatan untuk mencapai kejayaan cemerlang. Jangan terlalu meletakkan pengharapan tinggi kepada anak hingga menimbulkan rasa tertekan di jiwa mereka.
Peperiksaan adalah cara menilai pencapaian anak dalam pelajaran. Oleh itu, persiapan menghadapi peperiksaan penting supaya mendapat kejayaan cemerlang. Namun, tujuan utama menuntut ilmu ialah bagi meraih kejayaan di dunia serta akhirat.
Di samping mencari kejayaan dunia, ilmu pengetahuan seharusnya mendekatkan pelajar kepada Allah seterusnya menyumbang kepada ummah.
Cendekiawan Muslim tak peka krisis makanan dunia
Oleh Wan Abd Hamid Wan Teh
bhagama@bharian.com.my
Banyak negara Islam yang miliki tanah subur masih bergantung dari Amerika dan sekutunya
UMAT Islam jarang memperkatakan perkara dan persoalan berkaitan keperluan makanan dunia, malah persoalan makanan dalam negara sendiri pun tidak selalu diperkatakan. Umumnya persoalan itu dianggap fardu kifayah, bukan fardu ain.
Apakah persoalan kekurangan makanan asasi dalam negara Islam tidak memberi implikasi terhadap kekuatan serta ketahanan diri sebagai umat Islam? Persoalan dianggap fardu kifayah itu seolah-olah terpinggir daripada upaya pemantapan hidup berkeluarga, kerukunan hidup masyarakat setempat dan kesejahteraan ummah di seluruh negara, malah dunia umumnya.
Bagaimana dan mengapa masyarakat Islam memandang ringan perkara itu, walhal jika diteliti makanan menjadi permasalahan besar di kalangan ummah. Krisis makanan dunia menunjukkan umat Islam banyak menghadapi masalah kebuluran atau sekurang-kurangnya keadaan tidak cukup makan, kemiskinan dan keadaan sosial tidak teratur yang berpunca daripada kemiskinan.
Tidak kurang juga, negara Islam terpaksa bergantung pada import makanan ruji khususnya negara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan sekutunya. Negara Islam, walaupun mempunyai tanah subur, aktiviti pertanian hanya untuk memenuhi keperluan eksport negara maju seperti getah.
Program penanaman getah dengan pelbagai penyelidikan sudah lama menjadi agenda penting negara. Tidak dinafikan getah komoditi eksport Malaysia yang besar dan memberi pendapatan kepada negara. Walhal untuk makanan ruji rakyat sendiri, negara terpaksa bergantung pada import seperti dari Thailand. Apakah kesannya jika negara pengeksport tidak dapat membekalkan beras kepada kita?
Tradisi pengajian Islam tidak pernah luput daripada perhatian ulama walau di mana mereka berada. Namun, mengapa umat Islam tidak rasa terdidik dan bertanggungjawab untuk bergiat dalam bidang pertanian bagi keperluan makanan sendiri dan manusia umum.
Cendekiawan Muslim yang kini berada di seluruh dunia dengan pelbagai kepakaran perlu tampil meneroka teknologi untuk keperluan pemodenan sektor pertanian. Ulama dan cendekiawan Muslim sedia maklum makanan adalah isu kritikal bagi setiap bangsa di dunia. Persoalan besar timbul di sini ialah apa yang tidak kena pada umat Islam dan ulama sehingga tidak lagi mampu memberi sumbangan ilmu untuk menyelesaikan masalah manusia. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat gesaan kepada semua pemerintah dunia supaya menjadikan agenda memperbanyak pengeluaran makanan untuk faedah penduduk dunia secara keseluruhan.
Amerika Syarikat yang terkenal sebagai negara maju sudah lama menjadikan produk pertaniannya sebagai eksport utama. Keseluruhan eksportnya didominasi produk pertanian hasil asas tani iaitu mencecah 60 peratus daripada keseluruhan eksportnya. Israel dengan keluasan tanah yang sempit mampu mengeksport buah-buahan ke dunia luar dengan banyak. Belanda negara di benua Eropah yang kecil dengan keluasan lebih sedikit daripada keluasan negeri Pahang juga mengeksport produk pertanian ke dunia luar termasuk Malaysia. Belanda menduduki tempat ketiga selepas Amerika dan Perancis sebagai pengeksport makanan dunia. Di Malaysia, program pembangunan pertanian dilancarkan pada era pemerintahan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dengan Rancangan Bumi Hijau. Rancangan itu diperkenalkan kerajaan selepas demonstrasi penduduk Daerah Baling dan Sik di Kedah pada 1974.
Ketika itu juga rancangan penanaman padi dua kali setahun diperluas oleh kerajaan kepada pesawah. Pada peringkat awal sebilangan pesawah keberatan menyertai program itu dan mendakwa program itu menzalimi tanah sawah selain tiada masa istirahat untuk tanah sawah. Ketika itu guru agama kampung berfikiran dinamis tampil memberi tunjuk ajar kepada pesawah yang salah faham terhadap konsep dan hukum guna tanah menurut perspektif Islam. Pegawai pertanian turut membantu mengendalikan sawah selaras kaedah dan matlamat program. Kemelut yang timbul daripada salah faham ketika itu berlaku kerana tradisi lama membelenggu pemikiran pesawah. Perubahan pemikiran itu dapat dilakukan dengan pembabitan guru agama bersama pegawai pertanian yang mempunyai pengetahuan sains. Jika dilihat dari sudut pandangan dinamisme pemikiran, dapat disimpulkan langkah itu bertunjangkan pendekatan hadhari iaitu membawa perubahan minda petani daripada pemikiran konvensional kepada moden.
Maka lahir masyarakat petani kampung yang dapat mengenali dan memahami peranan pembajaan yang betul untuk menyuburkan tanaman dan penggunaan racun serangga untuk memerangi musuh tanaman dalam usaha menambah hasil pertanian mereka.
Penyelidikan diteruskan dengan penemuan program lebih baik melalui projek penanaman padi lima kali dua tahun sebagai susulan penanaman padi dua kali setahun. Infrastruktur disediakan kerajaan untuk melicinkan rancangan dengan pembinaan sistem pengairan lebih berkesan dilaksanakan.
Penyelidikan secara hadhari terus dijalankan untuk mengatasi upah penanaman padi yang berterusan meningkat dan tenaga kerja yang kian berkurangan. Hasil tindakan secara hadhari, akhirnya kaedah menabur dapat diperkenalkan kepada pesawah dan tuai dibuat dengan menggunakan mesin diubah suai daripada mesin tuai gandum di luar negara.
Ini yang berlaku dalam suasana yang mencabar ketika itu untuk memenuhi perancangan pemodenan pertanian padi di negara ini. Ini bermakna ilmuwan Malaysia mampu bertindak secara hadhari dalam mencari jalan penyelesaian masalah negara.
Matlamat bagi semua tindakan itu jelas iaitu untuk memenuhi keperluan makanan negara, dengan sara diri penuh. Proses untuk mencapai tahap sara diri penuh bagi Malaysia bukan perkara yang susah, kerana keluasan tanah negara cukup untuk dijadikan sawah. Yang perlu ada ialah persiapan minda semua pihak terbabit dalam bidang pertanian.
Penulis ialah Karyawan Tamu, Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia.
sumber: berita harian online (agama)
1 comment:
Assalamualaikum
Terima kasih kerana sudi berkongsikan artikel saya untuk tatapan pengunjung blog anda. Teruskan dakwah Islamiyyah anda, moga digolongkan Allah SWT dalam golongan orang2 yang mendapat balasan syurga kelak, Insya Allah
-Neezam-
Post a Comment