i k l a n

Monday, June 1, 2009

Cara menilai syarikat di pasaran saham

DALAM usaha membantu anda menjadi pelabur yang serius, berikut adalah beberapa soalan yang perlu dijawab sebelum anda melabur dalam mana-mana syarikat.
Apa yang dilakukan oleh syarikat berkenaan?
Lebih mendalam pemahaman anda mengenai perniagaan syarikat itu, lebih baik lagi pemantauan anda terhadap pelaburan anda.

Daripada mana datangnya keuntungan syarikat?

Baca dengan teliti penyata perakaunan syarikat bagi menentukan sumber keuntungannya. Pada masa sama, sentiasa periksa tahap hutang syarikat (iaitu adakah perniagaan syarikat itu banyak bergantung kepada pinjaman).

Apakah pelan masa depan syarikat?

Kaji pelan perniagaan syarikat dan periksa sama ada ia merancang untuk mempelbagaikan perniagaannya bagi meningkatkan nilai pemegang saham. Jika syarikat itu memutuskan untuk melaksanakan sebarang langkah korporat, anda perlu menilai sama ada langkah itu akan meningkatkan keuntungan dan memperbaiki daya saing syarikat.

Adakah syarikat menunaikan janjinya?

Sesebuah syarikat awam tersenarai perlu menyatakan pelan perniagaan dan unjuran pertumbuhannya, termasuk unjuran keuntungannya. Sekiranya syarikat tidak melaksanakan janjinya, anda boleh memastikan punca prestasi lemah syarikat itu dengan memeriksa prospektus dan laporan tahunannya.
Adakah syarikat itu diuruskan oleh mereka yang layak? Sesebuah syarikat yang diurus oleh pengurus yang mempunyai kelayakan yang betul, rekod prestasi yang baik dan berpengalaman, boleh memberikan hasil positif.
Apakah jenis risiko yang akan dihadapi oleh syarikat?

Penting untuk mengetahui risiko yang dihadapi oleh sesuatu syarikat, dan perancangan untuk mengurangkan atau menguruskannya.
Adakah saham syarikat itu terlebih atau terkurang nilai?

Saham terlebih nilai adalah apabila anda membayar lebih daripada nilai sebenar saham terbabit manakala saham terkurang nilai pula adalah sebaliknya. Pelabur bijak akan membeli saham terkurang nilai yang berpotensi memberikan pulangan yang baik dan berdaya kekal.
Adakah saham itu didagangkan secara aktif, terdapat pergerakan harga yang terlalu kerap dan luar biasa?

Saham yang didagangkan secara aktif tidak semestinya menunjukkan bahawa asas syarikat itu baik. Begitu juga membeli saham semata-mata kerana percaya bahawa harganya akan naik adalah satu tindakan yang sememangnya amat berisiko.

Selain soalan yang disenaraikan di atas, masih banyak lagi soalan yang boleh dikemukakan. Pelabur yang bertanya lebih banyak soalan pastinya boleh membuat keputusan pelaburan lebih bijak.
Di mana hendak mencari maklumat?

Anda boleh mendapat jawapan kepada soalan di atas daripada sumber berikut iaitu laporan tahunan, prospektus, halaman niaga akhbar, majalah niaga, lawan web Bursa Malaysia dan laman web syarikat yang anda berminat untuk membuat pelaburan.

Membuat penyelidikan yang perlu sudah tentu membolehkan anda mengurus dan meminimumkan risiko, di samping memastikan anda mendapat pulangan sebaik mungkin daripada pelaburan anda.
Bila hendak beli saham?

Pada bila-bila masa, asalkan anda menimbangkan semua fakta yang berkaitan dengan syarikat itu. Anda boleh mendapatkan bantuan profesional, seperti penasihat pelaburan atau remisier, apabila membuat keputusan pelaburan.

Bagaimanapun, walaupun anda memilih untuk mendapatkan bantuan profesional, keputusan untuk melabur terletak sepenuhnya di tangan anda. Justeru, amat penting bagi anda mengenali syarikat yang anda hendak membuat pelaburan.

sumber: berita harian online (ekonomi) 7 november 2008

No comments:

Related Posts with Thumbnails