i k l a n

Thursday, November 3, 2011

solat, sembahyang, rukun islam ke dua

Malaysia dinyatakan sebagai sebuah negara islam. pada masa sama ia tergolong dalam kesatuan negara islam. majoriti penduduk negara ini adalah berbangsa melayu yang dikategorikan sebagai bangsa yang beragama islam. sesiapa yang lahir berbangsa melayu, automatik akan beragama islam. secara tidak langsung majoriti penduduk adalah beragama islam. bagi menjelaskan betapa islamnya sesorang itu maka dicatatkan juga agama islam pada kad pengenalan diri masing-masing. selain itu ketua negera juga beragama islam.

bagi mengesahkan lagi betapa ramainya orang islam di negara ini dapat dilihat rumah ibadat atau dikenali sebagai masjid merujuk kepada simbol islam ada dimerata-rata tempat diseluruh kawasan orang ramai. tidak cukup dengan masjid, maka dimudahkan lagi dengan adanya surau-surau, musolla, balaisah dan yang paling kecil ruang untuk solat. kalau sesiapa yang pernah menaiki keretapi akan didapati ada satu ruang kecil khusus untuk orang islam solat. begitulah betapa kuatnya pengaruh islam di negara ini. 

tempat ibadat seperti masjid, surau, musolla dan balaisah diperbanyakkan diseluruh kawasan orang ramai bagi memudahkan semua orang yang beragama islam untuk menunaikan rukun islam kedua iaitu solat lima waktu sehari. solat lima waktu sehari ini merupakan suatu amalan yang menjadi tanggungjawab dan dikategorikan sebagai wajib serta diumpamakan seperti tiang untuk agama. dalam erti kata yang lain, jika tidak solat maka seumpama mereka meruntuhkan tiang agama islam. 

solat ini pula terbahagi kepada lima waktu yang khusus iaitu waktu maghrib, isyak, subuh, zuhur dan asar. ia merangkumi dari waktu siang hingga ke malam. namun begitu dalam menunaikan solat tidak dinyatakan tempat yang khusus untuk dilaksanakan samada perlu dilaksanakan di masjid sahaja atau di lain-lain tempat. perkara pokok yang menjadi keutamaan adalah mendirikan solat mengikut waktu yang ditetapkan. namun untuk kaum lelaki adalah lebih afdhal menunaikan solat secara berjemaah di tempat-tempat seperti masjid dan surau.

jika dilihat dari segi segala prasarana, kemudahan dan kedaulatan islam di negara ini sepatutnya ia tidak akan menjadi suatu masalah untuk umat islam di negara ini menunaikan solat. namun permasalahan umat ini yang tidak solat telah menjadi suatu kebiasaan. apa alasan mereka untuk tidak solat? alasan kemudahan tempat bersolat sudah tidak boleh dijadikan jawapan. 

secara umumnya solat merupakan amalan atau aktiviti yang paling susah untuk dilaksanakan. walaupun pada masa tersebut merupakan waktu yang lapang. jika dilihat dari segi fizikal aktiviti solat ini hanya terdiri dari aktiviti berdiri, duduk dan tunduk (rukuk dan sujud). kemudian ia diiringi dengan bacaan tertentu dalam setiap gerakan. tapi tetap susah dan payah untuk dilaksanakan.

setiap waktu solat pula terdiri dari bilangan rakaat yang berlainan. waktu maghrib bilangan rakaat adalah tiga, isyak sebanyak empat rakaat, subuh sebanyak dua rakaat, zuhur dan asar sebanyak empat rakaat untuk kedua-dua waktu. antara kelima-lima waktu, solat subuh mempunyai bilangan rakaat yang paling sedikit iaitu dua rakaat. namun begitu solat subuh merupakan solat yang paling banyak ditinggalkan. antara alasan yang paling popular adalah lewat bangun dan terlepas waktu subuh, terlalu mengantok, jam tak bunyi, takde orang kejut dan tak ingat doa qunut.

alasan lain untuk mereka yang tidak solat untuk waktu lain adalah seperti sibuk bekerja, meeting habis lewat, pakaian kotor, masjid atau surau terlalu jauh, boss tak bagi solat, terlupa, keadaan tak mengizinkan dan lain-lain. tapi itukan alasan. ada perkara yang lebih utama dari segala alasan tersebut iaitu ada yang tak pandai untuk solat, ada yang tak pernah solat, ada yang tak ingat/tak tahu bacaan dalam solat, ada yang ambil ringan tentang tanggungjawab menunaikan solat. sebenarnya inilah punca atas segala macam alasan yang dicipta.

jika dilihat situasi umat islam diluar dari negara ini, mereka begitu sukar menunaikan solat dek kekangan kemudahan tempat beribadat, isu islamofobia dan kebebasan untuk menjalankan aktiviti agama. dari situasi ini dapat disimpulkan bahawa umat islam di malaysia terlebih bertuah dalam erti menunaikan tanggungjawab dalam beragama. namun mungkin disebabkan terlalu mudah untuk solat di negara ini maka ia juga menjadi terlalu mudah untuk ditinggalkan. menjadi tabiat manusia untuk menghargai perkara yang susah untuk diperolehi. ramai yang tidak perasan disebalik mudahnya menjadi islam sebenarnya susahnya untuk menjaga iman. 

p/s: 
marilah mendirikan solat, marilah menuju kejayaan

No comments:

Related Posts with Thumbnails