sedikit coretan | menambah pengalaman | berkongsi kemesraan | menghayati keindahan
i k l a n
Thursday, December 24, 2009
persistence a.k.a istiqamah
Alhamdulillah hari ini banyak urusan berjalan lancar. Urusan penyusunan bahan untuk draf tesis juga semakin menampakkan hasil. Walaupun ia belum lagi lengkap sepenuhnya tapi sekarang ini saya sudah mampu untuk tersenyum sedikit. Mengimbas kembali dalam beberapa minggu sebelum ini, terlalu banyak dugaan dan cabaran yang datang melanda diri ini. Namun mengalah tidak sesekali. Yang lepas tidak mungkin untuk dikembalikan, yang dihadapan perlu dihadapi. Jadi perjalanan ini diteruskan juga.
Umpama orang yang jatuh terduduk, untuk bangun kembali bukanlah suatu perkara yang mudah. Memerlukan suatu keupayaan dari dalam sambil menahan sakit untuk berdiri semula. Sudah tentu bermacam cara untuk seseorang itu kembali berdiri. Samada ia bangun dengan keupayaan sendiri, menggunakan bantuan lain seperti tongkat, meminta bantuan orang lain atau terus duduk di situ tanpa apa-apa usaha.
Begitulah perumpamaan kehidupan dan dari segi tindakan itulah yang membezakan di mana tahap seseorang itu berada. Namun begitu, kedudukan bukanlah suatu isu penting yang perlu diutarakan tetapi sejauh mana usaha kita untuk mengubah sesuatu keadaan itu. Mari kita lihat dari pandangan sains. Jika dirujuk dalam istilah sains fizik, perkaitan paling dekat adalah formula untuk mendapatkan kerja (work). Apabila sesuatu benda berubah tempat maka ia telah melakukan kerja dan sudah tentu ia boleh berubah disebabkan ada suatu daya yang dikenakan. Nilai kerja ini pula dipengaruhi oleh nilai kekuatan daya dan sejauh mana ia berubah. Atau boleh dirujuk pada persamaan di bawah:
KERJA (Joule) = DAYA yg dikenakan (Newton) X JARAK perubahan(meter)
Dari konsep sains ini, dapat diumpamakan DAYA sebagai KEMAHUAN dan JARAK sebagai TINDAKAN manakala KERJA sebagai HASIL/KEJAYAAN. Melalui persamaan di atas kita dapati kita memerlukan kedua-dua komponen untuk memperolehi hasil/kejayaan. Cuba kita gambarkan kemahuan dan tindakan dalam bentuk angka. Mari kita cuba membuat kira-kira secara matematik (rujuk jadual di bawah)
Jadi bagaimana sekarang..? Melalui enam (6) situasi di atas, adakah anda faham bagaimana KEMAHUAN dan TINDAKAN mempengaruhi hasil kerja kita. Amatlah diharapkan agar contoh situasi ini dapat difahami untuk manfaat bersama.
Kembali kepada tajuk entri kali ini. PERSISTENCE a.k.a ISTIQAMAH, situasi yang paling mirip sekali adalah situasi 4. Kebanyakkan dari kita sentiasa mempunyai kemahuan yang tinggi (eg: mempunyai kereta BMW, duit simpanan sebanyak 10juta, rumah seperti istana bernilai paling kurang RM1juta, mahu melancong keseluruh dunia dan lain-lain) tapi bagaimanakah pula dengan tindakan kita ke arah mencapai kemahuan tersebut? Adakah tindakan kita setinggi mana kemahuan kita? Jawapan saya adalah kebiasaannya tidak setinggi itu. Maksudnya tindakan kita tidak seimbang dengan kemahuan yang kita mahukan. Kenapa ia berlaku sebegitu..?
Sudah menjadi lumrah hidup kita dalam mencapai impian dan kemahuan tersebut pelbagai halangan dan rintangan terpaksa kita hadapi. Rintangan dan halangan inilah yang melambatkan tindakan kita dan kadangkala menyebabkan tindakan kita kurang dari yang sepatutnya. Namun begitu, jangan kita merasa sedih dan lemah dengan rintangan dan halangan yang wujud. Apa yang perlu ada dalam diri kita pada masa itu adalah ISTIQAMAH/PERSISTENCE dengan tindakan kita. Selagi mana kita tak berhenti bertindak dan masih meneruskan usaha walaupun merangkak sekali pun, kejayaan tetap akan ada menanti kita dihadapan.
mengambil iktibar dari antara maksud ayat 15 surah al-mulk
"DIA yang menjadikan bumi untukmu dengan mudah kamu jalani, maka berjalanlah kamu pada beberapa penjurunya, dan makanlah reseki ALLAH, dan kepadaNYA (kamu berbangkit)"
p/s: Ayat dalam gambar di atas tu diberi oleh sahabat dunia akhirat. Saya telah menukarkan ayat tersebut dalam bentuk gambaran. Diharapkan sedikit sebanyak memberi manfaat untuk semua.
Sekian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
salam...wow menarik la...teruskan usaha anda...=)
Post a Comment