sedikit coretan | menambah pengalaman | berkongsi kemesraan | menghayati keindahan
i k l a n
Tuesday, September 28, 2010
Pentingnya taraf pendidikan bagi seorang ibu
SATU kajian terbaru menunjukkan bahawa peningkatan tahap pendidikan di kalangan wanita seluruh dunia dapat membantu menyelamatkan berjuta-juta nyawa kanak-kanak setahun.
Purata, sepanjang tahun antara 1970 dan 2009, pendidikan di kalangan wanita yang berumur 25 tahun dan ke atas adalah lebih dua kali ganda.
Malah angka tersebut meningkat menjadi tiga kali ganda bagi wanita yang tinggal di negara-negara miskin.
Dalam tempoh yang sama, jumlah kematian di kalangan kanak-kanak yang berumur di bawah lima tahun menurun daripada 16 juta ke 7.8 juta setahun.
Menurut para penyelidik, jumlah tersebut sekali gus menunjukkan penurunan sebanyak 51 peratus dan ia secara tidak langsung sumbangan daripada peningkatan tahap pendidikan di kalangan wanita yang mana mereka mengetahui bilakah masa yang sesuai untuk melahirkan anak.
Menurut Dr. Emmanuela Gakidou dari Institute for Health Metrics and Evaluation, University of Washington, Seattle, biarpun dengan meningkatnya tahap pendidikan di kalangan wanita hari ini, pada tahun 2009 dianggarkan tidak kurang daripada 4.2 juta kanak-kanak meninggal dunia.
Laporan kajian tersebut telah disiarkan dalam edisi khas baru-baru ini di The Lancet.
''Kami tahu, untuk membendung penyakit, pengetahuan seperti mendapatkan suntikan imunisasi, cara-cara pencegahan serta menghadiri kelas-kelas kebersihan diri sangat penting untuk meningkatkan kesihatan diri secara menyeluruh,'' ujarnya.
Menurut laporan Dr. Gakidou lagi, kajian tersebut juga menunjukkan bahawa dengan memberi tumpuan kepada pendidikan, ia dapat meningkatkan kesan kesihatan dalam diri masing-masing.
Satu analisis data yang diperoleh dari beratus-ratus negara menunjukkan secara global, tahap pendidikan bagi mereka yang berumur 25 tahun dan ke atas telah meningkat dari 4.7 tahun hingga 8.3 tahun untuk lelaki sementara antara 3.5 tahun hingga 7.1 tahun untuk wanita.
Bagi wanita, umur yang sesuai untuk melahirkan anak adalah antara 15 hingga 44 tahun manakala tahun pendidikan turut meningkat dari 2.2 tahun hingga 7.2 tahun, kepada mereka yang tinggal di negara membangun.
copyright: utusan malaysia online
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment